Oleh: Nadhirah Akmam
SEPANG:(KEMAS KINI) Sembilan aktivis Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition (FFC) dan Thousand Madleens to Gaza (TMTG) selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sekitar jam 4 petang tadi.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, kesemua mereka dibebaskan Israel pada 10 Oktober selepas ditahan di perairan antarabangsa ketika dalam pelayaran menuju ke Gaza pada 8 Oktober lalu. Mereka kemudian diterbangkan dari Istanbul ke Kuala Lumpur dengan penerbangan Saudia Airlines SV834.
Zulkifli memaklumkan pembebasan sembilan aktivis itu berjaya direalisasikan hasil hubungan baik antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan.
“Kerajaan Malaysia merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Turkiye serta negara sahabat atas bantuan diplomatik yang membolehkan kesemua sembilan sukarelawan ini dibawa pulang dengan selamat,” kata Zulkifli semasa sidang media sebentar tadi.
Antara aktivis terbabit ialah Ketua Delegasi Malaysia, Profesor Emeritus Dr Mohd Alauddin Mohd Ali, Dr Fauziah Mohd Hassan, Dr Hafiz Sulaiman, Dr Ili Syakira Mohd Suhaimi, Profesor Dr Mohd Afandi Salleh, Dr Noorhasyimah Ismail, Dr Maziah Muhammad, Norsham Abu Bakar dan wartawan Astro Awani, Syafik Shukri Abdul Jalil.
Pengerusi MyCARE, Datuk Seri Dr Kamal Nasharuddin Mustapha menzahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada kerajaan Malaysia serta rakyat yang tidak henti mendoakan keselamatan mereka sepanjang tempoh tahanan.
“Israel boleh menahan kapal dan memenjarakan aktivis, tetapi semangat solidariti untuk Palestin tidak akan pernah padam,” katanya ketika memberi ucapan dalam sidang media di KLIA.
Misi FFC-TMTG disertai kira-kira 150 peserta dari 25 negara bagi menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza. Walaupun tidak sempat sampai ke destinasi, misi itu dianggap berjaya menarik perhatian dunia terhadap kekejaman Israel dan penderitaan rakyat Palestin.
Baca juga: