PETALING JAYA: Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim memberi amaran bahawa sembilan Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) perlu memikul tanggungjawab sekiranya tuntutan mereka terhadap penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai badan kehakiman menyebabkan kejatuhan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Kerajaan Perpaduan Madani.
Menurut Hassan, tuntutan itu memberi gambaran bahawa kesemua sembilan wakil rakyat terbabit diketuai bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli telah hilang kepercayaan terhadap Anwar selaku Presiden parti dan Perdana Menteri.
“Anwar, yang mempunyai kuasa dalam pelantikan kehakiman seperti diperuntukkan Perlembagaan, kini menjadi suspek utama sekiranya RCI ditubuhkan.
“Maka beliau tidak boleh lari daripada siasatan,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, sebarang penubuhan RCI perlu mendapat persetujuan Anwar dan jemaah menteri.
Namun, katanya, jika diteruskan, ia akan meletakkan Anwar dalam kedudukan paling terdedah dan berisiko tinggi.
“Apa yang dilakukan oleh sembilan Ahli Parlimen PKR itu seperti meletakkan tengkuk Anwar di bawah ‘guillotine’ seperti dalam Revolusi Perancis,” ujarnya lagi.
Walaupun mengakui bahawa isu integriti badan kehakiman yang dibangkitkan mempunyai merit, Hassan menegaskan tindakan itu boleh mengundang risiko besar dan menggambarkan wujudnya pemberontakan dalaman dalam PKR.
Baginya, tindakan sembilan wakil rakyat berkenaan adalah sah daripada segi proses demokrasi di Parlimen, namun secara politik ia mencerminkan penentangan terbuka terhadap Presiden parti dan kepimpinan negara.
Beliau turut menzahirkan kekecewaan dalam kalangan pemimpin PKR terhadap kepimpinan Anwar yang didakwa terlalu banyak berkompromi dan gagal mempertahankan idealisme reformasi.
“Tindakan sembilan Ahli Parlimen itu mencerminkan kekecewaan dan hilangnya kesabaran dalam kalangan pemimpin PKR terhadap kepimpinan Anwar,” katanya.
Namun begitu, Hassan menegaskan sokongan penuh beliau terhadap Anwar sebagai Perdana Menteri dan berikrar untuk terus mempertahankan Kerajaan Madani.
Beliau turut menyeru agar Anwar menangani isu ini dengan bijaksana selepas pulang daripada lawatan luar negara kerana ia merupakan cabaran paling serius kepada kepimpinan beliau.
Tuntutan RCI oleh sembilan Ahli Parlimen PKR termasuk Rafizi Ramli timbul susulan dakwaan berkaitan pelantikan hakim dengan tujuan menjamin ketelusan dan pengukuhan prinsip pemisahan kuasa.