JOHOR BAHRU: Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Johor (JIM) menahan sembilan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang didapati menjaja pelbagai juadah makanan di sebuah bazar Ramadan tanpa dokumen perjalanan serta kebenaran sah.
Operasi bersepadu itu dijalankan susulan aduan orang ramai yang mengesan aktiviti perniagaan haram di lokasi berkenaan, sekali gus melanggar peruntukan undang-undang imigresen.
Pengarah Imigresen Negeri Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, pemeriksaan awal mendapati kesemua yang ditahan terdiri daripada tiga lelaki dan enam wanita dewasa warganegara Indonesia berusia antara 21 hingga 48 tahun.
“Kesemua mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Tahanan kini ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Selain itu katanya, operasi turut mengeluarkan dua borang 29 (saman kepada saksi) bagi membantu siasatan.
Mohd Rusdi berkata, tindakan penguatkuasaan akan diteruskan dari semasa ke semasa.
“Operasi seperti ini akan diteruskan secara berterusan bagi memastikan pematuhan undang-undang serta memelihara keselamatan dan ketenteraman awam,” ujarnya.








