PETALING JAYA: Sembilan rakyat Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition (FFC) dan Thousand Madleens to Gaza (TMTG) dijadual tiba di tanah air petang ini selepas dibebaskan oleh tentera Israel.
Menurut laporan media tempatan, Kementerian Luar Negeri memaklumkan bahawa kumpulan itu kini dalam perjalanan pulang dari Istanbul, Turkiye dan dijangka tiba di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menerusi penerbangan Saudia Airlines SV834 dari Jeddah pada jam 3.55 petang Ahad.
“Delegasi Malaysia berkenaan terdiri daripada Ketua Misi, Profesor Emeritus Dr Mohd Alauddin Mohd Ali, Dr Fauziah Mohd Hassan, Dr Hafiz Sulaiman, Dr Ili Syakira Mohd Suhaimi, Profesor Dr Mohd Afandi Salleh, Dr Noorhasyimah Ismail, wartawan Astro Awani, Syafik Shukri Abdul Jalil, Norsham Abu Bakar dan Dr Maziah Muhammad.” menurut satu kenyataan.
Insiden itu berlaku apabila sembilan kapal misi kemanusiaan termasuk Conscience, Umm Saad, Leila Khaled dan beberapa lagi, dipintas tentera Israel pada Rabu lalu ketika berada di perairan antarabangsa, 120 batu nautika dari Gaza.
Semua kapal dibawa ke Pelabuhan Ashdod sebelum 145 aktivis, termasuk rakyat Malaysia, dibawa ke Penjara Ketziot untuk siasatan lanjut oleh pihak berkuasa Israel.
Kapal Conscience yang membawa lapan rakyat Malaysia tiba di pelabuhan pada jam 12.45 tengah malam, manakala kapal Umm Saad yang dinaiki Dr Maziah Muhammad tiba pada jam 6 pagi waktu Malaysia.
Misi ini dilaksanakan di bawah gabungan FFC dan TMTG dengan 10 kapal berlepas dari Itali pada 27 September lalu, termasuk kapal utama Conscience yang dilancarkan di Porto Otranto.
Secara keseluruhan, misi kemanusiaan ini disertai lebih 150 peserta dari 25 negara, dengan MyCARE mengetuai delegasi Malaysia bagi menyalurkan bantuan makanan dan perubatan kepada rakyat Gaza yang terkesan akibat sekatan rejim Zionis.
Baca juga:








