91 murid disahkan keracunan makanan – JPNS

Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) mengesahkan berlaku kejadian keracunan makanan melibatkan kira-kira 91 murid di Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Gaya, Kota Kinabalu, Sabah pada Isnin.

Pengarahnya, Datuk Raisin Saidin berkata, murid terbabit kini diberi rawatan di beberapa hospital dan klinik sekitar ibu negeri.

Susulan kejadian itu, pihak sekolah memberhentikan pembekalan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) serta-merta bagi sesi petang.

Beliau berkata, perkara itu mula dikesan kira-kira pukul 12 tengah hari Isnin apabila guru mendapati ada murid mengalami muntah-muntah dan beberapa simptom lain.

“Pihak sekolah melalui guru-guru kemudian mendapatkan maklumat lanjut sekiranya terdapat murid lain yang terlibat dalam keracunan makanan.

“Maklumat awal yang diperoleh terdapat lebih daripada 20 orang murid yang terlibat dalam kes keracunan makanan di sekolah itu,” katanya menerusi satu kenyataan pada Selasa.

Raisin berkata, pihak sekolah juga bertindak segera mengumpul maklumat murid yang terbabit dalam kes keracunan makanan itu dan membawa beberapa murid ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS) di Likas, Hospital Queen Elizabeth (HQE) dan Klinik Kesihatan Luyang.

“Sekolah juga menasihatkan ibu bapa dan penjaga agar membawa anak masing-masing untuk mendapatkan rawatan segera di klinik berhampiran sekiranya terdapat simptom keracunan makanan,” katanya.

Katanya, berdasarkan laporan dikumpul Unit Hal Ehwal Murid (HEM) Pejabat Pendidikan Daerah Kota Kinabalu (PPDKK), seramai 55 murid dirawat di HWKKS, diikuti seramai 25 murid di HQE, Klinik Kesihatan Luyang (lapan murid), Klinik UTC Kota Kinabalu (seorang) dan dua lagi di Jeti SAFMA Kota Kinabalu.

Dalam pada itu, status kesihatan murid ketika dirawat ialah pada tahap dua dan dalam pemantauan pihak hospital, manakala tiada kes tahap kritikal. 

Difahamkan, setakat ini punca keracunan makanan masih disiasat dan belum dapat diputuskan sama ada berpunca daripada makanan di kantin sekolah atau RMT.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat