INDONESIA: Harapan dan doa terus mengiringi usaha menyelamat di Al Khoziny, sebuah sekolah pondok Islam berusia lebih seabad di Sidoarjo, Jawa Timur, selepas bangunan utama institusi itu runtuh secara tiba-tiba pada petang Isnin lalu.
Ketika kejadian, ratusan pelajar lelaki berusia antara 12 hingga 18 tahun sedang menunaikan solat Asar di dewan solat utama yang sedang menjalani kerja pengubahsuaian.
Setakat pagi ini, pihak berkuasa mengesahkan sekurang-kurangnya 91 pelajar masih terperangkap di bawah runtuhan konkrit.
Tragedi itu turut meragut tiga nyawa, manakala lebih 100 pelajar cedera termasuk yang mengalami kecederaan parah seperti patah tulang dan trauma kepala.
Lebih 330 anggota penyelamat dari 56 agensi termasuk Basarnas, TNI, polis dan pasukan perubatan telah dikerahkan ke lokasi.
Mereka berdepan cabaran besar apabila runtuhan berlaku dalam bentuk ‘pancake collapse’ iaitu runtuhan bertingkat yang membentuk ruang sempit dan berisiko tinggi.
Pasukan penyelamat kini menggunakan kaedah manual untuk menggali laluan sempit, sambil menyalurkan oksigen, makanan dan air kepada sekurang-kurangnya enam pelajar yang masih hidup di bawah runtuhan.
Punca runtuhan dipercayai berpunca daripada penambahan dua tingkat baharu ke atas struktur asal bangunan dua tingkat yang tidak mampu menampung beban tambahan.
Ketika kejadian, konkrit sedang dituangkan ke tingkat atas yang belum siap sepenuhnya.
Keadaan menjadi lebih genting apabila kawasan sekitar turut dilanda gempa bumi bermagnitud 6.0 pada malam Selasa, menambahkan risiko kepada operasi menyelamat dan keselamatan pasukan penyelamat.








