Bersubahat culik budak, tiga sahabat ditahan

Tiga remaja termasuk dua antaranya masih di bawah umur, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru pada Rabu, atas pertuduhan menculik seorang budak lelaki pada Disember.

Namun ketiga-tiga tertuduh mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dikemukakan di hadapan Majistret, R.Salini.

Menurut laporan Metro, Jonathan Yet, 18 bersama dua rakannya berusia 15 dan 17 tahun secara bersama menculik seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun di Jalan Serampang pada 12 Disember.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun keseksaan, yang membawa hukuman penjara hingga tujuh tahun dan denda.

Susulan pengakuan tidak bersalah itu, pihak pendakwa mencadangkan RM8,000 sebagai jaminan kepada setiap tertuduh, namun masing-masing merayu jaminan dikurangkan.

Majistret menetapkan RM2,500 sebagai jaminan untuk setiap tertuduh, dengan dua remaja bawah umur itu perlu dijamin oleh ibu bapa atau penjaga masing-masing.

Mahkamah turut menetapkan 23 Januari sebagai tarikh sebutan semula kes untuk penyerahan laporan sosial dan laporan akhlak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Sebelum ini Metro melaporkan dua remaja lelaki antara tiga ditahan, dipercayai bersubahat menculik seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun pada 12 Disember lalu.

Dalam kejadian itu, seorang lelaki warga China berstatus penduduk tetap Singapura, cedera parah ketika menyelamatkan anak lelakinya daripada diculik sekumpulan lelaki yang menaiki sebuah kereta.

Tujuan penculikan itu adalah bagi mendapatkan wang tebusan sebanyak RM300,000. Bagaimanapun, kanak-kanak berkenaan selamat.

Suspek utama kejadian itu iaitu seorang lelaki berusia 41 yang juga seorang mekanik dipercayai rakan kongsi warga China itu, ditahan di hadapan Balai Polis Taman Pelangi, Johor Bahru pada malam hari sama.

Baca juga: