Menjalankan perniagaan menyalahi undang-undang menjadi punca 1,675 laman sesawang yang menjual produk farmaseutikal disekat oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Malah produk dianggarkan bernilai lebih RM500,000 itu turut dirampas dalam Operasi Pengea Ke-16 yang dijalankan di seluruh negara dari 3 hingga 10 Oktober lalu.
Menurut Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi Kementerian Kesihatan (KKM) Norhaliza A Halim, sebanyak 76 peratus daripada laman sesawang yang dikesan menjual produk farmaseutikal menyalahi undang-undang adalah menerusi platform e-dagang.
“Kesemua pautan ini sudah diadukan kepada MCMC, penyedia platform media sosial dan e-dagang untuk disekat akses dan diturunkan kandungan.
“Berlaku peningkatan dalam penjualan ubat-ubatan terkawal seperti bahan psikotropik, ubat penahan sakit, antibiotik dan ubat batuk yang dijual oleh penjual yang tidak berkelayakan atau tidak diberi kuasa,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Operasi Pangea Ke-16 dikendalikan oleh Interpol yang mengfokuskan pengiklanan, pembekalan dan penjualan secara dalam talian produk farmaseutikal yang tidak berdaftar atau dicampur palsu di seluruh dunia, dan di Malaysia ia diselaraskan oleh Bahagian Penguatkuasaan Farmasi KKM.
Norhaliza berkata operasi itu di Malaysia yang mendapat kerjasama National Central Bureau/Interpol Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC), telah merampas 13,552 unit produk farmaseutikal tidak berdaftar bernilai RM132,498 di semua pintu masuk utama negara melibatkan kargo udara, lapangan terbang, pos sempadan dan terminal feri.
Ujarnya, produk paling banyak dirampas di pintu masuk negara adalah kosmetik iaitu sebanyak 2,359 unit, produk merawat penyakit gastrik (2,243) dan steroid (1,673) manakala ubat penahan sakit (1,465) dan suplemen kesihatan (1,343) pula dirampas di pintu masuk utama dan pusat pengedaran mel tahun ini.
“Bahagian Penguatkuasaan Farmasi, KKM juga mendapati trend pembelian ubat penahan sakit dan suplemen kesihatan dari luar negara juga semakin meningkat setiap tahun. “Kebanyakan produk farmaseutikal dan kosmetik yang dirampas ini adalah berasal dari Australia, Bangladesh, Hong Kong, Jepun dan India,” katanya.
Selain itu, sebanyak 96,691 produk farmaseutikal menyalahi undang-undang bernilai RM417,291 telah dirampas dalam serbuan bersasar ke atas penjual dan premis perniagaan.
“Turut dirampas produk tradisional yang dicampur palsu dengan steroid, ubat penahan sakit dan ubat batuk yang tidak berdaftar dan dijual oleh penjual yang tidak berlesen dan tidak diberi kuasa di bawah Akta Racun 1952,” katanya menambah, sebanyak 12 fail siasatan dibuka untuk tindakan lanjut.
Tegasnya, KKM komited dalam memastikan pengendalian rangkaian bekalan, penggunaan, pemasaran dan penyiaran iklan-iklan produk farmaseutikal dikendalikan dengan mematuhi peruntukan undang-undang yang dikuatkuasakan.
Operasi Pangea Ke-16 di seluruh dunia dari 3 hingga 10 Oktober lalu membawa kepada 72 tangkapan, rampasan produk farmaseutikal bernilai lebih daripada AS$7 juta (RM32 juta), pembukaan 325 fail siasatan dan penutupan lebih daripada 1,300 pautan iklan.
Baca juga: