Cadangan pelantikan pakar bukan Islam dalam Jawatankuasa Mengkaji Bidang Kuasa Mahkamah Syariah oleh Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham dilihat tidak relevan.
Perkara itu disuarakan oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata, cadangan wakil rakyat DAP itu hanya akan mencetuskan perdebatan dan polemik yangi dikhuatiri akan menjejaskan keharmonian pelbagai kaum dalam kalangan rakyat.
Katanya, Mahkamah Syariah dikhususkan kepada golongan beragama Islam sementara proses menambah baik dan menaik taraf akan dilaksanakan secara berperingkat di samping memberi penekanan kepada bidang kuasa dibenarkan dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Proses menaik taraf Mahkamah Syariah meliputi aspek pentadbiran, kompetensi, emolumen dan penggajian hakim serta pegawai, serta bentuk dan tahap hukuman diperuntukkan bawah kuasa mahkamah itu, ia tidak pernah sekali-kali mengambil mahupun mencabuli hak warga bukan Islam.
“Ini juga sejajar peruntukan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan dan kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu sebagai pemelihara serta pelindung kepada kesucian agama Islam sebagai Agama Persekutuan, pada masa sama mengiktiraf kebebasan agama-agama lain untuk diamalkan di negara ini.
“Justeru, berikanlah kepercayaan dan keyakinan kepada Majlis Raja-Raja Melayu dalam menentukan panel yang bakal menganggotai jawatankuasa itu kelak. Tentunya DYMM Tuanku Raja-Raja Melayu amat bijaksana dan pasti mengambil kira segala aspek, termasuk bidang kuasa diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan dalam mengabsahkan terma-terma rujukan jawatankuasa itu,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook beliau pada Khamis.
Beliau turut menegaskan, sebarang hasil keputusan jawatankuasa kelak akan dibentangkan kepada Majlis Raja-Raja Melayu setelah diteliti segala aspek berkait Perlembagaan.
Malah, beliau juga mengingatkan Perlembagaan dibentuk dengan mengambil kira kepentingan semua golongan sementara perkara yang memberi kesan kepada kaum dan agama perlu dibincangkan secara menyeluruh untuk mengelakkan konflik.
“Sekiranya wujud cadangan membabitkan pindaan undang-undang mahupun Perlembagaan, prosesnya itu akan membabitkan Ahli-ahli Parlimen bukan Islam yang mempunyai kuasa untuk membahas, menyokong, meminda atau menolak cadangan yang terkait penggubalan undang-undang mahupun Perlembagaan,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan kerajaan disaran melantik pakar daripada masyarakat bukan Islam untuk membantu Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-Undang Islam yang ditubuhkan pada awal bulan ini.
Baca juga: