Masalah bekalan air, pelajar UMS terima 18,000 liter air minuman

Kolej kediaman di Universiti Malaysia Sabah (UMS), Kota Kinabalu, Sabah, menerima 18,000 liter atau seribu karton air minuman bagi membantu mengatasi masalah bekalan air yang dihadapi oleh pelajar di sini.

Inisiatif tersebut diambil oleh Pejabat Parlimen Sepanggar setelah dimaklumkan mengenai masalah tersebut kepada pihak Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud minggu lalu.

Penghantaran air minuman itu dibuat pada Khamis dan Jumaat sebagai langkah segera memastikan pelajar di kampus UMS Kota Kinabalu tidak terputus bekalan air.

Katanya, Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) dan pengurusan UMS juga menjalankan penghantaran air untuk memenuhi keperluan pelajar dan warga kampus.

“Kami hantar 18,000 liter air mineral ke kolej yang memerlukan. Kalau perlu lebih, akan kami hantar lagi.

“Untuk air kegunaan biasa, kita bergantung kepada Jabatan Air. UMS mempunyai tangki, jadi kita tidak mahu bertembung.

“Penghantaran air minuman dilakukan untuk memenuhi keperluan pelajar yang sedang menduduki peperiksaan daninisiatif sementara bagi membantu mereka dalam tempoh tersebut,” katanya menurut Berita Harian.

Mustapha mengakui menerima surat daripada Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UMS mengenai isu air pada minggu lalu dan sedang mencari penyelesaian bagi menangani masalah tersebut.

Mengikut arahan Mustapha, Pejabat Parlimen Sepanggar mengatur perbincangan antara MPP, Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) dan pengurusan universiti untuk mendapatkan penjelasan lanjut mengenai isu air dan langkah penyelesaiannya.

“Saya harap perbincangan pada Jumaat tersebut dapat meredakan keadaan dan pihak MPP UMS memahami masalah yang dihadapi oleh JANS,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat