Polis Kelantan keluar 453 saman Op Ambang Tahun Baharu

Polis Kelantan mengeluarkan 453 saman dalam Operasi Khas Ambang Tahun Baharu 2024, yang berlangsung pada hari Isnin.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kelantan, Superintendan Shuhaimi Jusoh, berkata, kesalahan itu dikesan hasil sekatan jalan raya (SJR) yang turut dilaksanakan bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), di 17 lokasi bermula 10 malam hingga 3 pagi Isnin.

Dalam tempoh operasi itu, sebanyak 2,138 kenderaan, termasuk motosikal, kereta, lori, kenderaan pelbagai guna (MPV), dan kenderaan pacuan empat roda (4×4) telah diperiksa.

“190 saman telah dikeluarkan ke atas pemilik kereta, motosikal (213), lori (28), MPV (20) dan 4X4 (dua).

“Antara kesalahan yang dikesan ialah tiada lesen memandu, Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, tidak pamer pelekat ‘P’, nombor plat tidak ikut spesifikasi, kesalahan ubah suai ekzos dan tiada insurans kenderaan,” katanya menerusi satu kenyataan pada Isnin.

Pada operasi yang sama, JPJ turut mengeluarkan 306 saman, yang melibatkan pelbagai kesalahan termasuk tiada lesen memandu (CDL) dan lesen vokasional (GDL), serta kesalahan berkaitan cermin sisi.

Selain kesalahan lalu lintas, Shuhaimi berkata, sebanyak 16 warga asing telah ditahan, semasa pemeriksaan ke atas lima buah bas di SJR di Gua Musang.

“Pemeriksaan menemukan 16 warga asing terdiri daripada seorang lelaki India, Bangladesh (enam lelaki), Indonesia (dua lelaki), Pakistan (seorang lelaki) dan Myanmar (lima lelaki dan seorang wanita).

“Sebelas dari mereka memiliki pasport yang telah tamat tempoh, dan lima lagi tidak memiliki dokumen.

“Semua ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang dan akan diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia untuk siasatan lanjut,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat