Tiada rancangan kaji semula persempadanan, SPR tunggu tempoh lat tamat

Menjalankan kajian semula terhadap persempadanan bagi Negeri-Negeri Tanah Melayu dan Sabah bukanlah satu keutamaan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memandangkan tempoh lat (selang waktu) yang masih lagi berkuat kuasa.

Menurut Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh, penelitian dan pertimbangan sedang dibuat sebelum memastikan pelaksanaan perkara tersebut.

Katanya, kejian semula persempadanan terhadap bahagian pilihan raya sedia ada hanya boleh dibuat selepas tamat tempoh lat lapan tahun dari tarikh siapnya kajian terdahulu atau sekiranya wujud pindaan ke atas komposisi bilangan keanggotaan Ahli Dewan Rakyat mahupun Dewan Undangan Negeri.

“Bagi maksud tersebut, urusan kajian semula persempadanan terdahulu bagi Negeri-Negeri Tanah Melayu telah selesai dijalankan pada 2018, manakala bagi Sarawak dan Sabah masing-masing pada 2015 dan 2017,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Tambah beliau, sesuatu syor kajian semula persempadanan hanya akan dimulakan apabila terdapat pemberitahuan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Perdana Menteri oleh SPR, serta disiarkan suatu notis sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Bahagian II, Seksyen 4, Jadual Ketiga Belas, Perlembagaan Persekutuan.

Abdul Ghani turut memberitahu, SPR di bawah Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan dari semasa ke semasa sebagaimana difikirkan perlu, bertanggungjawab mengkaji semula persempadanan bahagian pilihan raya Persekutuan dan negeri berlandaskan prinsip dan tatacara ditetapkan Perlembagaan Persekutuan.

“Bilangan pemilih yang lebih kurang sama banyak bagi setiap bahagian pilihan raya dalam sesebuah negeri kecuali apabila terdapat kesukaran perhubungan dan kesukaran lain yang dihadapi bahagian pilihan raya di luar bandar, luas bahagian pilihan raya patut diberi pertimbangan dan perhatian kepada pemeliharaan hubungan tempatan,” katanya.

Prinsip berhubung persempadanan pilihan raya antaranya ialah kewajaran memudahkan semua pemilih keluar mengundi semasa pilihan raya dan bahagian pilihan raya tidak merentasi sempadan negeri, serta mengambil kira kemudahan pentadbiran yang boleh didapati dalam bahagian pilihan raya itu untuk mengadakan jentera yang perlu, bagi pendaftaran dan pengundian.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat