Kontroversi kereta ‘enjin bergula’ akhirnya berakhir apabila syarikat perusahan Otomobil Kedua (Perodua) Sales Sdn Bhd bersetuju untuk membeli semula kenderaan jenis Bezza dengan harga penuh selepas dinyatakan rosak meskipun baru lapan jam dibeli.
Perkara itu dinyatakan oleh pemilik kenderaan, Nagakanni Subramaniam, bahawa syarikat tersebut turut menawarkan membeli kereta kedua dengan kadar pinjaman sama atau menolak tawaran berkenaan dan membeli kereta lain.
“Saya perlu buat keputusan ini dalam masa tujuh hari. Saya juga tak perlu lagi bayar bulan-bulan untuk kereta lama dan semua bayaran sebelum ini akan dipulangkan semula.
“Terima kasih Perodua atas keputusan ini dan semua yang membantu saya menuntut hak ini. Saya terhutang budi dengan anda.
“Perjuangan menuntut hak daripada syarikat gergasi bukanlah sesuatu yang mudah untuk saya yang hanya seorang kerani, tetapi saya belajar sesuatu.
“Walaupun kita kecil seperti semut, kalau kita bersatu tanpa kira warna dan kaum, kita akan berjaya. Akhirnya, kerana gula, semut bersatu,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.
Sebelum ini, Nagakanni meluahkan rasa kecewa apabila kereta dibelinya pada 17 Oktober lalu didapati rosak dan dirinya sendiri tidak mempunyai sebarang penyelesaian dengan syarikat tersebut.
Bahkan dia juga perlu membayar ansura bulanan sebanyak RM537 meskipun kenderaan tersebut masih dalam keadaan tidak boleh digunakan.
Baca juga: