Netanyahu takkan berhenti selagi tidak musnahkan pejuang Hamas

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu membuat ikrar untuk hanya akan berhenti setelah mendapat ‘kemenangan penuh’ dalam menumpaskan Hamas.

Setelah empat bulan pengeboman tanpa henti dibuat ke atas Gaza, Netanyahu tetap tidak akan berhenti walaupun digesa kuasa besar seperti Amerika Syarikat (AS) dan Eropah untuk menyelesaikan konflik ini secara diplomatik.

Beliau menyatakan Israel akan terus menghapuskan Hamas, membebaskan tahanan dan memastikan Gaza tidak lagi mengancam Israel.

“Kita perlu mengecapi kemenangan sepenuhnya dan mengetepikan segalanya,” kata Netanyahu dalam kenyataannya yang dikeluarkan oleh pejabatnya, menurut laporan AFP.

Wartawan AFP melaporkan Israel terus menyerang bandar Rafah di selatan Semenanjung Gaza, tempat ratusan ribu orang mencari perlindungan daripada pertempuran.

Mangsa pengeboman pula dibawa ke Hospital Eropah di Khan Younis dan juga merupakan tempat perlindungan rakyat Gaza, namun kawasan itu juga tidak terlepas daripada pengeboman Israel.

Jurucakap tentera, Daniel Hagari, mengumumkan bahawa Israel telah meruntuhkan struktur ketenteraan Hamas di utara Gaza dan kini akan menumpukan serangan kepada bahagian tengah dan selatan.

Perang yang dicetuskan oleh serangan yang tidak pernah berlaku sebelum ini, dilancarkan oleh Hamas pada 7 Oktober 2023, hingga mengakibatkan kematian kira-kira 1,140 penduduk Israel, berdasarkan angka rasmi Israel.

Sebagai balasan, Israel melancarkan serangan udara dan pencerobohan darat yang berterusan, menyebabkan kematian sekurang-kurangnya 23,000 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, menurut Kementerian Kesihatan Gaza.

Pengeboman Israel terhadap Gaza masih tidak berhenti sehingga hari ini dan angka kematian rakyat Palestin kekal meningkat setiap hari.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat