Berang cinta ditolak, lelaki nekad bawa lari remaja 17 tahun

Polis Daerah Gombak menahan tiga individu yang disyaki melarikan seorang pelajar perempuan berumur 17 tahun ketika mangsa berada di hadapan sebuah sekolah menengah di Kepong, Kuala Lumpur, Jumaat lalu.

Pelajar perempuan tersebut dilarikan berpunca daripada keengganan untuk meneruskan hubungan bersama salah seorang suspek.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir, tangkapan dibuat selepas polis menerima aduan daripada ibu mangsa berusia 42 tahun pada jam 10.36 pagi sebelum itu.

“Pelajar terbabit dikatakan ditarik secara paksa ke dalam kereta sebelum dibawa ke sebuah inap desa.

“Ibu mangsa sebelumnya dimaklumkan oleh guru mangsa mengenai kejadian tersebut dimana mangsa dilarikan oleh seorang lelaki dan seorang wanita warga tempatan menggunakan sebuah kereta,” katanya lapor Berita Harian.

Katanya, mangsa dibebaskan semula kira-kira jam 12 tengah hari pada hari sama dan tidak dicederakan sepanjang dilarikan dan dikurung.

Ariffin berkata susulan daripada itu, polis menahan tiga individu, membabitkan dua lelaki tempatan berumur 22 dan 20 tahun serta seorang wanita tempatan berumur 20 tahun.

“Mangsa mengenali seorang daripada suspek yang juga bekas teman lelakinya. Suspek tidak puas hati kerana mangsa memutuskan perhubungan.

“Pihak polis turut merampas sebuah kereta jenama Toyota berwarna putih dan sebuah motosikal Yamaha Y15ZR.

“Semua suspek kini direman empat hari hingga Selasa ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan melarikan orang,” katanya.

Baca juga: