Rumah Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham diserang oleh individu tidak dikenali menggunakan bahan letupan ‘molotov cocktail’ hingga mengakibatkan kebakaran tiga buah kereta miliknya di kediamannya awal pagi Rabu.
Perkhabaran itu disampaikan melalui hantaran Facebook milik Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook yang menyatakan seluruh pimpinan DAP bersimpati atas insiden yang menimpa dirinya.
Anthony turut menyatakan bahawa pihak bomba berjaya memadam kebakaran tersebut sebelum merebak ke dalam rumahnya.
Dalam hantaran yang sama, Anthony menyatakan DAP mengutuk perbuatan individu terbabit yang mengancam keselamatan keluarga Ngeh.
“DAP mengutuk sekeras-kerasnya tindakan serangan ganas ini yang mengancam keselamatan nyawa keluarga beliau.
“Kami menegaskan bahawa apa sahaja bentuk unsur keganasan tidak boleh diterima sekali dalam menangani perbezaan dalam masyarakat kita,” ujarnya.
Dalam pada itu, Anthony menyatakan DAP turut menyeru pihak berkuasa untuk mengambil serius kejadian ini dan menjalankan siasatan yang sewajarnya.
“Laporan polis telah dibuat dan kami yakin pihak polis akan bertindak pantas untuk menyiasat dan menangkap pihak yang bertanggungjawab dalam jenayah tersebut.
“DAP menyeru pihak Kementerian Dalam Negeri dan PDRM supaya mengambil perhatian serius dalam kejadian ini dan memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terjaga,” katanya.
Baca juga: