Peningkatan tarif air sebanyak 22 sen bagi setiap 1,000 liter air digunakan bagi kategori domestik di Semanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan disifatkan sebagai salah satu tindakan yang tidak dapat dielakkan.
Perkara itu dinyatakan oleh Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, menyatakan langkah terbabit perlu diambil bagi menjamin kelangsungan perkhidmatan dan memastikan bekalan dapat diteruskan kepada pengguna.
Katanya, pelarasan itu akan melibatkan sekitar 6.9 juta pengguna kategori domestik atau mewakili kira-kira 86.6 peratus daripada 7.9 juta pemilik akaun.
“Pelarasan dijangka akan menyebabkan caj bil naik dalam julat antara RM1.60 hingga RM8 bagi setiap kediaman atau lima hingga 27 sen sehari bagi penggunaan isi rumah sebanyak 20 semeter padu.
“Kenaikan tarif air bukan domestik termasuk komersial dan industri antara 40 sen hingga RM2 bagi 20 semeter padu sebulan atau 1 sen hingga 7 sen sehari.
“Pelepasan surcaj tenaga ini turut terpakai bagi tarif perkhidmatan pembetungan bersambung. Surcaj tenaga akan dilepaskan kepada semua kategori pengguna melibatkan seluruh Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan,” katanya ketika majlis Pelarasan Tarif Demi Meningkatkan Tahap Perkhidmatan Bekalan Air pada Selasa.
Tambahnya, pelarasan tersebut dibuat bagi membantu operator air di setiap negeri dapat menjana pendapat bagi membolehkan menampung keperluan perbelanjaan operasi (opex) sekali gus menjalankan pembangunan infrastruktur sistem bekalan air.
“Operator air dikehendaki meningkatkan usaha masing-masing bagi menangani isu semasa yang dihadapi dengan menggunakan pendapatan tambahan sebegitu.
“Antara perkara utama yang dihadapi oleh pembekal perkhidmatan bekalan air di negeri Kelantan adalah untuk mematuhi piawaian kualiti air minimum seperti ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.
“Dengan itu, pelarasan tarif ini juga membolehkan pihak Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) bertanggungjawab untuk membuat perancangan yang teliti supaya mematuhi piawaian yang ditetapkan,” katanya.
Pada masa sama, beliau turut memberitahu, masalah tekanan air menjadi isu penting yang dihadapi negeri Kedah berdasarkan rekod Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), rizab margin kosong, mengakibatkan permintaan bekalan air tidak dapat disempurnakan.
“Oleh itu, Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd (SADA) perlu mempunyai perancangan untuk menaikkan rizab margin kepada 15 peratus, sebagaimana ditetapkan oleh SPAN, termasuk terkait masalah pencemaran, respon dan penyelesaian aduan berikutan gangguan bekalan air.
“Susulan itu kerajaan Persekutian melalui SPAN akan terus membuat pemantauan terhadap prestasi operator air berdasarkan pencapaian petunjuk prestasi utama (KPI) termasuk projek perbelanjaan modal yang dirancang bagi pembangunan infrastruktur sistem bekalan air.
“Semua ini akan memberikan manfaat kepada pemilik akaun bagi mendapatkan pekhidmatan terbaik daripada operator air di negeri masing-masing,” katanya.
Sementara itu, golongan kurang berkemampuan, bantuan subsidi atau rebat kepada pengguna golongan B40 atau miskin tegar yang berdaftar dengan eKasih akan diberikan oleh Kerajaan Negeri bersama operator air.
Baca juga: