Bapa tiri didakwa rogol 2 anak bawah umur

Seorang lelaki berusia 44 tahun dituduh di Mahkamah Seyen Ayer Keroh, Melaka, pada Rabu atas 12 pertuduhan termasuk amang seksual, rogol dan seks dengan objek terhadap dua anak perempuan tirinya berusia 11 dan 15 tahun.

Tertuduh yang merupakan seorang juruteknik syarikat pembersihan sisa klinikal itu mengaku tidak bersalah setelah pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam.

Pertuduhan pertama hingga ke-10 menyatakan tertuduh didakwa atas empat pertuduhan dengan sengaja melakukan amang seksual secara fizikal serta tiga tuduhan merogol dan melakukan perbuatan seksual menggunakan jari terhadap anak tiri perempuannya.

Semua perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Taman Merlimau Emas, Jasin, Melaka, pada tarikh yang berbeza antara Mac 2023 hingga Januari 2024.

Bagi pertuduhan ke-11 dan 12, tertuduh didakwa atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak tirinya yang berusia 15 tahun pada Julai dan September lalu kira-kira pukul 11 malam.

Pertuduhan rogol tersebut dikemukakan mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan, membawa hukuman penjara sehingga tidak kurang lapan tahun dan maksimum 20 tahun dan sebatan tidak kurang daripada 10 sebatan.

Bagi pertuduhan amang seksual fizikal, kes dituduh mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan Seksyen 16 akta sama, jika disabitkan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan dikenakan sebat.

Dalam pada itu, pertuduhan melakukan seks menggunakan objek pula mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 30 tahun serta sebat.

Disebabkan tertuduh membuat pengakuan tidak bersalah, Timbalan Pendakwa Raya Rashidah Baharom memohon tarikh sebutan baharu bagi serahan dokumen dan tidak menawarkan jaminan.

Mahkamah membenarkan jaminan RM40,000 berserta syarat tambahan melaporkan diri kepada pegawai penyiasat kes sebulaan sekali.

Sehingga kes selesai, tertuduh dilarang mengganggu atau menghubungi mangsa dan mana-mana saksi yang terlibat dalam pendakwaan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat