“Apabila dia pergi, saya berasa Husin pun pergi sama…” – Awie luah hasrat ingin terbit filem serlah watak Husin

Penyanyi dan pelakon, Datuk Awie menyatakan hasratnya untuk meneruskan legasi pengarah filem, Allahyarham Mamat Khalid dalam penerbitan filem membabitkan karakter Husin sebagai watak utama dalam karya akan datang.

Kata Awie atau nama lengkapnya, Ahmad Azhar Othman, 56, berasa, watak Husin sangat dekat dengan dirinya dan membuatkan beliau ingin meneruskan apa yang telah diusahkan oleh pengarah itu.

“Husin sudah ‘mati’ sejak pemergian Allahyarham. Apabila Mamat Khalid pergi, saya merasakan seolah-olah watak Husin juga pergi pada masa itu.

“Namun, orang ramai menggalakkan saya untuk meneruskan watak Husin ini kerana ia sangat sinonim dengan masyarakat.

“Boleh dikatkaan ke mana sahaja saya pergi, akan ada orang panggil saya dengan nama Husin,” katanya ketika ditemui Malaysia Bangkit di Sidang Media Konsert Wings The Rock Emperor – Penang Chapter pada Khamis.

Jelasnya, filem baharu itu akan diterbitkan oleh rumah produksi miliknya iaitu Rumah Produksi Merah.

“Penulisan skrip masih lagi dalam pembikinan, berkemungkinan pada tahun ini atau tahun hadapan kami akan mulakan penggambaran filem tersebut.

“Filem ini bukan sahaja menampilkan watak Husin semata-mata, malah kami akan membawa watak-watak utama lain yang ada dalam rangkaian filem arahan Mamat Khalid sebelum ini,” ujarnya.

Awie memainkan watak Husin dalam filem Hantu Kak Limah Balik Rumah, Zombi Kampung Pisang dan Hantu Kak Limah 2: Husin, Mon dan Jin Pakai Toncit.

Dalam perkembangan lain, Konsert Wings The Rock Emperor – Penang Chapter akan diadakan di SPICE Arena, Bayan Lepas, Pulau Pinang pada 24 Februari depan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat