Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) mengingatkan nelayan tempatan untuk tidak menjadi ‘tali barut’ dengan membawa masuk pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negara melalui jalan laut.
Ia susulan tindakan tiga warga tempatan yang didapati mengambil upah untuk mengambil dan menghantar PATI dari Indonesia ke Malaysia.
Pengarah Maritim Malaysia Negeri Melaka dan Negeri Sembilan, Kepten Maritim Mohd Khairi Abd Aziz, berkata Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) telah mengesan satu kontak curiga menuju ke Kuala Sungai Sepang, Selangor jam 12 tengah hari pada Jumaat.
“Sebuah bot nelayan warga tempatan ditahan kerana disyaki membawa PATI Indonesia pada Jumaat,” katanya dalam kenyataan pada hari Sabtu.
Pemeriksaan mendapati tiga individu termasuk tekong bot nelayan tersebut dan seorang lelaki warga Indonesia berusia 49 yang disyaki merupakan seorang PATI.
Individu berkenaan disyaki PATI kerana gagal mempamerkan dokumen pengenalan diri yang sah.
Mohd Khairi turut menegaskan bahawa Maritim Malaysia akan sentiasa memantau dan akan kekal tegas dalam menyekat kemasukan PATI melalui perairan negara.
Baca juga: