Seramai 24 tentera Israel maut dalam serangan di selatan Gaza pada Selasa yang turut direkodkan sebagai angka tertinggi sejak konflik 7 Oktober lalu.
Jurucakap rejim Zionis, Daniel Hagari menyatakan seramai 21 tentera maut akibat letupan bom yang disasarkan ke arah kereta kebal di samping pasukan lain yang ditimpa runtuhan dua bangunan pada masa yang sama.
Daniel menyatakan punca letupan masih lagi dalam siasatan mereka.
Sebelum itu, tiga anggota tentera Israel dikhabarkan maut dalam serangan yang berasingan di selatan Gaza.
Jurucakap Kementerian Kesihatan Gaza, Ashraf al Qidra, berkata kejadian itu berlaku ketika rejim Zionis melakukan serangan udara, laut dan darat di barat Khan Younis, Gaza, melibatkan serbuan ke sebuah hospital dan penahanan kakitangan perubatan.
“Sekurang-kurangnya 50 orang maut di Khan Younis pada malam Ahad lalu manakala puluhan cedera akibat pengepungan beberapa fasiliti kesihatan di sana,” katanya, lapor Berita Harian.
Namun, Israel enggan mengulas mengenai serangan di Khan Younis terbabit.
Sementara itu, sekutu Israel, Amerika Syarikat (AS) meminta Israel untuk mengurangkan korban penduduk Palestin serta kakitangan perubatan atas serangan rambang tersebut.
Jurucakap Majlis Keselamatan Kebangsaan Rumah Putih, John Kirby, semalam, berkata Israel berhak untuk membela diri namun berharap tindakannya selaras undang-undang antarabangsa dan melindungi seramai mungkin orang tidak bersalah di hospital, kakitangan perubatan serta pesakit.
Namun, Israel menolak permintaan tersebut dengan menyatakan hamas beroperasi di sekitar hospital namun perkara ini dinafikan oleh pejuang tersebut.
Sejak serangan yang diadakan pada 7 Oktober lalu, sekurang-kurangnya 25,295 warga Gaza dibunuh dan ribuan cedera dalam serangan balas rejim Zionis.
80 peratus daripada penduduk Gaza juga kehilangan tempat tinggal di samping berhadapan situasi kekurangan bekalan makanan, minuman dan perlindungan kesihatan.
Baca juga: