Penyanyi, Datuk Nashrudin Elias atau lebih dikenali sebagai Nash menerima Anugerah Sumbangsih daripada Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dalam Majlis Anugerah Kecemerlangan Siswa 2022/2023 (AKSIS 22/23) di Nilai, Negeri Sembilan pada Selasa.
Nash, 64, menerima anugerah tersebut atas sumbangannya daripada segi idea dan dalam bidang persembahan di USIM melalui pelantikannya sebagai Karyawan Seni USIM sejak 2016.
Nash berkata, dirinya berasa teruja untuk menerima penganugerahan tersebut yang diterima pertama kali daripada universiti itu.
“Anugerah ini sangat bermakna kerana ia merupakan satu pengiktirafan yang tidak dapat saya lupakan sejak berada dalam bidang seni lebih 40 tahun.
“Ini merupakan salah satu pencapaian saya sebagai orang seni, untuk menerima anugerah daripada universiti berprestij seperti USIM,” katanya.
Penyanyi yang popular dengan lagu Pada Syurga Di Wajahmu itu berkata dirinya diberikan peluang untuk memberi ilmu dan pengalaman dengan memberi tunjuk ajar daripada segi persembahan.
Nash turut berkata, dirinya aktif menyertai aktiviti yang diadakan oleh USIM termasuk aktiviti yang berlangsung di negara jiran.
“Saya banyak menyertai aktiviti yang dilaksanakan oleh USIM termasuk di Indonesia dan Thailand serta beberapa negara lain di rantau ini,” katanya.
Nash yang merupakan Karyawan Seni USIM turut memaklumkan tugasnya di USIM masih berbaki dua tahun lagi sehingga tahun hadapan, sekiranya tidak disambung.
Selain dirinya, artis lain yang turut menyertai Karyawan Seni USIM termasuk Syed Indera Syed Omar atau Siso daripada Kumpulan Kopratasa dan komposer terkenal, Fauzi Marzuki.
Namun, Nash masih mengekalkan khidmatnya di sana meskipun artis lain sudah bertukar ganti sebagai Karyawan Seni di universiti berkenaan.
Terdahulu, Nash turut pernah menerima Anugerah Sumbangsih daripada Timbalan Naib Canselor USIM (Hal Ehwal Pelajar dan Ulumni), Prof Datuk Dr Adnan Mohamed Yusoff.
Turut hadir dalam upacara penganugerahan tersebut, Naib Canselor USIM, Prof Datuk Ts Dr Sharifudin Md Shaarani serta ketua-ketua jabatan universiti berkenaan. – Berita Harian
Baca juga: