Seorang lelaki ditahan kerana disyaki menyebabkan kematian isterinya selepas bergaduh di rumah mereka di PPR Batu Gong, Padawan, Sarawak.
Ketua Polis Daerah Padawan, Superintenden Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata pihaknya menerima laporan mengenai kematian wanita berusia 43 tahun itu kira-kira pukul 10.10 malam,
Menurutnya, mangsa dipercayai meninggal dunia akibat kecederaan yang dialaminya.
“Suspek telah ditangkap dan direman di Mahkamah Kuching pada Rabu untuk membantu siasatan,” katanya dalam suatu kenyataan.
Bagaimanapun, katanya pada 8 Januari lalu, mangsa telah menghalau suaminya itu dari rumah.
Abang Zainal berkata suspek kemudian datang semula pada Selasa, dengan alasan mahu mengambil pakaiannya yang masih berada di rumah sewa itu.
“Setelah mangsa memberi pakaian yang diminta, suspek menyatakan dia hendak berbincang dengan mangsa pula sebelum bertindak menolak mangsa di kerusi ruang tamu dan terus menampar kedua-dua pipinya beberapa kali.
“Mangsa yang melawan turut membuatkan suspek mencekik lehernya menggunakan sebelah tangan dan menyuruhnya diam.
“Suspek kemudian mengambil bajunya dan kesempatan itu digunakan oleh mangsa untuk menghubungi jirannya menyebabkan suspek terus melarikan diri,” ujarnya.
Susulan itu, katanya mangsa kemudian pulang ke rumah keluarganya di Kampung Panchor, namun kira-kira pukul 8 malam, mangsa mengadu sakit di bahagian telinga sebelum tiba-tiba tangannya mengejang lalu terbaring di pelukan kakaknya.
Beliau berkata mangsa disahkan meninggal dunia pada pukul 9.48 malam oleh pegawai perubatan.
Menurut Abang Zainal, punca kejadian dipercayai disebabkan mangsa menghalau dan menuntut cerai daripada suspek kerana suspek enggan bekerja sejak setahun lepas.
Suspek juga sering meminta wang, tetapi tidak membantu mangsa berniaga ataupun menolong mangsa membuat kerja rumah.
Baca juga: