Penduduk Rantau Panjang mengeluh kawasan rumah dilanda banjir lagi

Penduduk di Pengkalan Haram Baung, Rantau Panjang, Kelantan meluahkan rasa kesal apabila banjir melanda kawasan rumah mereka lagi pada pagi hari Jumaat.

Wan Sharifah Omar, 63, berkata rumahnya baru sahaja selesai dicuci akibat banjir lalu, namun kini rumahnya dilanda banjir lagi membuatkan usaha pencucian sebelum ini hanya sia-sia.

Dia turut berasa khuatir akan keselamatan suaminya, Ismail Che Hamat, 62, yang menghidap sakit jantung dan hilang ingatan.

“Saya pindahkan suami saya ke atas para kayu di rumah apabila paras banjir sudah mencecah kira-kira 0.3 meter.

“Rumah saya dimasuki banjir sejak awal pagi dan paras air semakin meninggi walaupun perlahan.

“Rumah kami sangat berdekatan denagn Sungai Golok, jadi rumah kami antara yang terawal akan dinaiki air. Saya juga perlu mengawasi suami saya sepenuh masa untuk menjaga keselamatannya,” katanya, lapor Berita Harian.

Wan Sharifah turut berharap agar banjir makin surut agar dia tidak perlu membawa suami ke pusat pemindahan sementara (PPS) dengan menumpang kenderaan jiran berdekatan.

“Sekiranya PPS belum dibuka, kami perlu menumpang di rumah saudara terlebih dahulu kerana rumah kami tidak selamat untuk didiami buat masa sekarang.

“Namun, saya berharap agar banjir ini cepat surut kerana agak sukar untuk saya menjaga suami sekiranya kami perlu berpindah di PPS,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat