Penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin, 45, melahirkan rasa syukur kerana memiliki sultan yang berjiwa rakyat dan berhati mulia serta prihatin.
Katanya, Baginda, Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah sangat dekat dengan rakyat dan penuh dengan rasa kasih sayang.
“Menjunjung kasih Tuanku. Terima kasih di atas pemerintahan Tuanku selama lima tahun dan bakal dirindui oleh seluruh rakyat Malaysia.
“Cara Tuanku berdua mendekati rakyat, sentiasa prihatin dan kerendahan diri telah meninggalkan rasa kasih sayang mendalam rakyat,” tulisnya berdasarkan perkongsian di Instagram.
Penyanyi lagu Biarlah Rahsia itu turut memohon doa agar keberangkatan baginda berdua dipermudahkan dan selamat sampai ke negeri Pahang.
Menerusi satu hantaran di Instagram menuliskan tanda penghargaannya terhadap baginda berdua setelah tamat penggal pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 baru-baru ini.
“Selamat berangkat pulang ke negeri Pahang Darul Makmur.
“Sebagai anak Pahang, patik sangat berbangga dan bersyukur mempunyai seorang raja yang berjiwa rakyat. Semoga Tuanku berdua sentiasa di dalam lindungan Allah.” tulisnya lagi.
Dalam pada itu, Siti juga telah memuat naik satu hantaran video serta memohon agar baginda berdua sentiasa diberikan kesihatan yang baik dan dilindungi oleh Allah SWT.
“Rakyat Malaysia pasti akan merindui Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku berdua. Doa patik dan seluruh rakyat Malaysia semoga Tuanku berdua akan terus dilindungi Allah SWT dan diberikan kesihatan yang baik,” katanya menerusi hantaran video di Instagram miliknya.
Baca juga: