Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa arahan yang diberikan kepada agensi penguatkuasaan secara umum dan tidak menyasarkan kepada individu tertentu untuk diambil tindakan.
Berita Harian melaporkan, Anwar dengan jelasnya memberikan arahan umum kepada agensi penguat kuasa seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk melaksanakan tugas serta tanggungjawab mereka.
Anwar turut berkata, arahan yang diberikan bertujuan untuk menyelamatkan negara dalam memerangi kes rasuah dan salah guna kuasa agar tidak berlaku lagi.
“Saya tidak bagi arahan tangkap orang A atau geledah rumah B. Saya bagi arahan umum, nak selamatkan negara mesti cari jerung-jerung besar sebagai suatu pengajaran supaya hal ini (salah guna kuasa dan rasuah) tidak berlaku lagi.
“Tidak selesai dengan menangkap sarjan dan mendakwa orang-orang kecil kerana ia tidak akan jadi pengajaran, ia hanya sebagai suatu sandiwara saja, tapi kalau kita tunjukkan kesungguhan, membetulkan tata kelola, saya percaya negara boleh diselamatkan,” katanya.
Anwar berkata demikian ketika menyempurnakan Program Penggerak MADANI Negeri Sembilan di Kem Wawasan Negara Ulu Sepri baru-baru ini.
Turut hadir, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Aminuddin Harun; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Zafir Ibrahim dan Ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri serta pemimpin masyarakat.
Menerusi satu hantaran Facebook miliknya, Anwar menegaskan ketika berucap dalam program tersebut bahawa negara memerlukan satu anjakan yang ketara menerusi dasar-dasar yang digariskan di bawah gagasan MADANI bagi memperbetulkan kepincangan sistem pentadbiran yang berlaku sejak sekian lama.
“MADANI menekankan soal ihsan, akhlak, kemanusiaan dan keadilan bagi merawat keterhakisan nilai-nilai ini akibat kemajuan material sehinggakan kita sanggup membiarkan pimpinan yang rasuah terus bermaharajalela sejak sekian lama.
“Anjakan ini perlu bermula dengan membina semula tatakelola yang baik serta semangat menolak rasuah. Kerana itu Kerajaan ini sedaya upaya menoktahkan budaya mengizinkan kuasa dan sistem pemerintahan dijadikan kesempatan memunggah kekayaan untuk tokoh-tokoh tertentu.
“Usaha memerangi rasuah perlu bermula dengan menghukum jerung-jerung sebagai satu pengajaran supaya hal ini tidak lagi berulang, ketimbang sekadar memenjarakan watak-watak kecil yang akhirnya hanya menjadi gimik dan sandiwara,” tulisnya.
Namun, usaha memerangi rasuah ini akan diselubungi dengan kontroversi lebih-lebih lagi impak terhadap seseorang yang mempunyai kekayaan berpuluh bilion akan menggunakan segala pengaruhnya untuk melawan.
Dalam pada itu, Anwar berkata, jika berhenti bertindak kerana pengaruhnya, maka tidak layak menjadi pemimpin yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga negara. Risiko perlu dihadapi kerana utamanya adalah negara mesti diselamatkan.
“Justeru, saya mohon dukungan rakyat untuk bersama-sama berpegang pada prinsip ini. Moga usaha ini membersihkan negara daripada amalan bobrok, sekali gus mengangkat martabat Malaysia,” tulisnya lagi.
Baca juga: