Didakwa kasari guru sekolah, ejen hartanah mengaku tidak bersalah

Ejen hartanah didakwa di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu, Sabah atas pertuduhan melakukan ugutan jenayah dan menyebabkan kecederaan secara sengaja kepada seorang guru lelaki berusia 40 tahun di sekolah menengah anaknya.

Baru-baru ini, tular sebuah video di laman media sosial memaparkan tertuduh melakukan perbuatan sedemikian kerana guru terbabit menangkap anaknya merokok dalam tandas sekolah berkenaan.

Tertuduh, Daniel Dean Wong Kok Ching, 49, mengaku tidak bersalah bagi dua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret, Stephanie Sherron Abbie.

Dua pertuduhan termasuk didakwa melakukan ugutan jenayah dan pertuduhan kedua dia didakwa menyebabkan kecederaan terhadap guru terbabit.

Kedua-dua pertuduhan dilakukan di waktu dan lokasi yang sama, iaitu di gelanggang bola keranjang Sekolah Menengah Tinggi Kota Kinabalu pada pukul 9.30 pagi pada 29 Januari lalu.

Tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin RM3,000 dengan dua orang penjamin warga tempatan.

Jika disabit kesalahan bagi pertuduhan ugutan jenayah, hukuman yang dikenakan adalah penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Bagi kesalahan mendatangkan kecederaan pula, jika disabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Mahkamah menetapkan 7 Mac depan untuk pengurusan kes pra-perbicaraan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat