Imran Ajmain nafi hubungan dengan Fazley Yaacob goyah

Penyanyi Singapura, Imran Ajmain menafikan dakwaan mengatakan hubungannya dengan rakan artis, Datuk Fazley Yaakob sedang dilanda masalah sekarang. 

Kata Imran, 42, jemputan untuk hadir ke konsert Malam Seribu Tahun di Menara Ken, Taman Tun Dr Ismail (TTDI) pada Sabtu juga dikatakan sudah dihantar kepada Fazley, namun kemunculan selebriti cef itu tidak kelihatan. 

“Saya memang jemput, cuma rasanya, pesanan itu mungkin disampaikan atau mungkin juga tidak kepada telinga yang tidak mahu mendengar,” katanya ketika ditemui pada Sabtu. 

Imran memberi reaksi demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan isteri Fazley iaitu Azrene Soraya Abdul Aziz mengatakan mereka tidak menerima jemputan ke konsert berkenaan. 

Bagaimanpun, Imran tidak menafikan wujud perselisihan faham kecil antara mereka. Namun, dia beranggapan bahawa perkara itu hanya satu masalah kecil sahaja. 

“Saya rasa tiada apa yang perlu dikomen dan jika saya dilihat sebagai ahli keluarga lebih aman dan damai jika biarkan hal ini dalam keluarga sahaja. 

“Saya rasa itu lebih beradab daripada pihak saya. Secara keseluruhan, saya rasa perkara itu hanya titik hitam yang sangat kecil. 

“Saya ada perkara yang perlu diberikan fokus dan saya percaya mereka mendoakan yang terbaik untuk saya. Saya juga percaya medapat doa restu daripada mereka.

“Selama ini kami sangat akrab, tiada langsung rasa terkilan atau apa-apa perasaan kurang sedap dalam hati. Saya masih berhubung dengan (Datuk) Fazley dan anak-anaknya,” ujarnya lagi.

Sementara itu, dalam konsert tersebut Imran mendendangkan lebih 20 lagu antaranya Seribu Tahun, Selamat Ulang Tahun Sayang dan Ghaibmu. 

Berlangsung selama dua hari iaitu 3 dan 4?Februari, konsert itu berjaya menghimpunkan kira-kira 1,200 penonton untuk kedua-dua persembahan berkenaan. 

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat