Tol percuma sempena Tahun Baru Cina

Pelaksanaan tol percuma bagi pengguna Kenderaan Kelas 1 (kenderaan persendirian) sempena sambutan perayaan Tahun Baru Cina pada 8 dan 9 Februari depan.

Kementerian Kerja Raya (KKR) memaklumkan, kemudahan tol percuma itu diberikan hasil persetujuan dicapai melalui mesyuarat Jemaah Menteri.

“Pemberian tol percuma ini akan dilaksanakan di semua lebuh raya bermula pada jam 12.01 tengah malam, 8 Februari 2024 (Khamis) dan akan berakhir pada jam 11.59 malam, 9 Februari 2024 (Jumaat) di mana implikasi kewangan dianggarkan berjumlah RM42.99 juta,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Pengecualian tol akan diberikan kepada kenderaan Kelas 1 (Kenderaan Persendirian) sahaja di semua plaza tol, kecuali di sempadan negara iaitu Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Plaza Tol Tanjung Kupang, Johor Darul Takzim.

Pelaksanaan tersebut diharapkan agar pengguna lebuh raya dapat memanfaatkan peluang itu dengan sebaiknya dan merancang perjalanan dengan sewajarnya.

“Dinasihatkan agar pengguna jalan raya mematuhi cadangan jadual waktu perjalanan yang disyorkan.

“Pengguna juga dinasihatkan untuk mendapatkan rehat yang secukupnya dan memastikan baki kad Touch ‘n Go serta eDompet (eWallet) adalah mencukupi di sepanjang perjalanan,” katanya lagi.

Selain itu, pengguna boleh menyemak status trafik di media sosial rasmi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) iaitu di Facebook, Lembaga Lebuhraya Malaysia atau di aplikasi X, @LLMtrafik secara berkala.

Pengguna lebuh raya juga boleh menghubungi Pusat Pengurusan Trafik LLM di talian 1-800-88-7752 untuk mendapatkan maklumat terkini keadaan trafik atau bantuan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat