Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur membenarkan permohonan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mendapatkan semula pasportnya agar membolehkan dia untuk menghadiri lawatan ke Bangkok,Thailand.
Hakim Azura Alwi membuat keputusan itu selepas berpuas hati bagi melepaskan sementara pasport Presiden Bersatu bermula 23 Februari depan.
Kata Azura, walaupun bersetuju bahawa tujuan bekas Perdana Menteri ke Thailand bukan keperluan mendesak, mahkamah mempunyai budi bicara yang boleh digunakan selepas mengambil kira dan menimbangkan segala keadaan dalam sesuatu kes.
“Mahkamah bersetuju bahawa tujuan jaminan diberikan adalah untuk menjamin kedatangan ke mahkamah untuk menjawab tuduhan dan pasport diserah bagi tujuan sekatan pergerakan ke atas pemohon sehingga kes dilupuskan.
“Mahkamah juga mendapati tiada bukti bahawa pemohon mempunyai risiko untuk melarikan diri,” katanya.
Memetik laporan Berita Harian itu juga, Muhyiddin difahamkan tujuan beliau berkunjung ke negara gajah putih itu bertujuan bagi melawat rakan perniagaan dan menghadiri perasmian restoran halal di sana.
Azura juga mengatakan kes Muhyiddin, beliau berkata, mahkamah mendapati walaupun dikenakan sekatan, jaminan dan syarat jaminan, adalah tidak wajar pemohon dihalang menjalani kehidupan dan menggalas tanggungjawab seperti biasa selagi tidak disabitkan bersalah bagi pertuduhan dikenakan.
Kelmarin, pihak pendakwaan dilapor membantah permohonan Muhyiddin bagi mendapatkan pasport sementara untuk ke Thailand pada 15 Februari ini.
Pada 29 November tahun lalu, Mahkamah Sesyen menolak permohonan beliau mendapatkan pasport secara kekal, namun melepaskan dokumen itu sementara bagi percutian bersama keluarga dan pemeriksaan kesihatan, masing-masing di London, United Kingdom (UK) serta Singapura.
Muhyiddin, 76, berdepan dua pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM195 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke akaun CIMB Bank milik BERSATU.
Bekas Perdana Menteri didakwa melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Cawangan Menara KL, Jalan Stesen Sentral, di sini, antara 25 Februari dan 16 Julai 2021 serta 8 Februari dan 8 Julai 2022.
Muhyiddin juga didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM5 juta dan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen, di sini untuk dibicarakan bersama.
Pada 15 Ogos lalu, Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan Muhyiddin daripada empat pertuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan berjumlah RM232.5 juta bagi BERSATU berkaitan projek Jana Wibawa.
Baca juga: