Seorang lelaki yang digelar Hot Daddy mendapat layanan baik daripada masyarakat meskipun dipercayai terkait dengan menjalankan aktiviti merakam dan menjual aksi hubungan intim dengan lebih 20 wanita melalui aplikasi media sosial.
Insiden memperlihatkan Hot Daddy atau nama sebenarnya, Hasli Ikhwan Arif Zul Hasli, 32, itu dirakam manakala videonya tular di media sosial baru-baru ini
Dalam video yang tular itu memperlihatkan Hasli Ikhwan mendapat reaksi positif daripada masyarakat setempat, selain ada antara mereka dilihat mengambil gambar bersama.
Tindakan orang ramai itu dilihat seperti mengidolakan Hasli Ikhwan meskipun lelaki itu dipercayai terlibat dengan kegiatan tidak moral dan bertentangan dengan agama Islam.
Menerusi rakaman yang berdurasi satu minit 16 saat, memaparkan beberapa individu beramah mesra dengannya mencetuskan kebimbangan pelbagai pihak, seperti mereka menerima dan ‘menghalalkan’ kegiatan perkhidmatan persundalan yang didakwa didalangi bapa anak tiga itu.
Perunding Motivasi dan Kaunseling, Hushim Salleh berkata, perbuatan itu menjadi satu kepuasan dan kebanggaan kepada seusia mereka, lebih-lebih lagi di media sosial,tetapi perasaan malu dan berdosa itu sudah tiada.
“Perkara ini sudah menjadi normalisasi dan kebiasaan dalam kalangan masyarakat, contohnya apabila mereka bergambar dengan individu terbabit, mereka merasakan diri sudah hebat,” katanya.
Terdahulu, Hasli Ikhwan bersama dua teman wanitanya didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 26 Januari kerana membuat pengiklanan khidmat persundalan menerusi aplikasi X.
Bagaimanapun, dia dan Norhidayah Mahadi, 24, yang bekerja sendiri bersama pengurus swasta, Norshazrina Md Zamri, 27, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali.
Mengikut pertuduhan, mereka bersama-sama membuat pengiklanan khidmat persundalan menggunakan aplikasi X yang mana orang munasabah akan memahaminya sebagai khidmat persundalan.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 372 (1)(e) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama bawah Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara 15 tahun dan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan.
Baca juga: