Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengatakan Setiausaha Akhbar (SUA) dan Unit Komunikasi Korporat (UKK) memiliki peranan penting dalam merangka strategi komunikasi.
Anwar berkata dua entiti berkenaan juga sebagai medium naratif berkesan bagi melawan fitnah dan tipu daya pihak tertentu selaku jentera utama komunikasi kerajaan.
“Sehubungan itu, perkara tersebut diutamakan dalam menangkis dakwaan pihak tidak bertanggungjawab terhadap usaha kerajaan dalam merungkai masalah rakyat sekali gus mengangkat semula martabat negara.
“Usaha dan pendekatan yang diambil tidak akan membawa hasil yang segera, tetapi apa yang pasti rakyat mendapat manfaat dalam tempoh jangka masa panjang,” katanya menerusi hantaran di Facebook miliknya.

Terdahulu, beliau telah menyempurnakan penutupan Pemukiman SUA dan Ketua UKK di Putrajaya, ia juga merupakan kesinambungan daripada Pemukiman Jemaah Menteri pada bulan Januari lalu.
Dalam pada itu, Anwar meletakkan harapan tinggi terhadap prestasi serta gerak kerja berkenaan kepada mereka yang mempunyai peranan penting dalam menyebarkan dasar, inisiatif dan pencapaian kerajaan.
“Saya yakin pemukiman itu dapat memperbaiki serta memperkukuhkan usaha kerajaan dalam menyampaikan maklumat tepat, terus kepada rakyat,” katanya.

Pada program pemukiman yang berlangsung selama dua hari bermula pada Sabtu itu turut dihadiri oleh Menteri Komunikasi, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa.
Baca juga: