64 terbunuh dalam pertembungan antara suku di Papua New Guinea

Dianggarkan 64 terbunuh dalam serangan di wilayah tinggi Enga, Papua New Guinea yang berlaku dipercayai berpunca daripada perselisihan faham antara 17 puak.

Jurucakap polis berkata, wilayah tanah tinggi berkenaan sudah mempunyai sejarah keganasan sejak dahulu lagi namun kejadian kali ini merupakan antara yang terburuk sejak beberapa tahun yang lalu.

“Ini adalah pembunuhan terbesar yang pernah saya lihat di Enga, mungkin di seluruh kawasan tanah tinggi juga,” kata Pemangku Polis Diraja Papua New Guinea, Superintenden George Kakas, lapor Australian Broadcasting Corporation (ABC).

Beliau turut menyatakan serbuan senjata api haram sebelum ini telah menjadikan serangan semakin berbahaya hingga tercetusnya kematian yang semakin bertambah.

“Polis mula mengumpul mayat di tempat kejadian berhampiran bandar Wabag, kira-kira 600 kilometer dari barat laut ibu kota Port Moresby.

“Polis turut menerima video dan gambar yang dikatakan dari tempat kejadian, memaparkan mayat dimuatkan ke dalam trak,” katanya.

Konflik antara suku yang semakin meningkat selalunya berhubung kait dengan pengangihan tanah dan kekayaan yang sebelum ini membawa kepada perintah berkurung dan sekatan perjalanan selama tiga bulan pada Julai lalu.

Gabenor wilayah Enga, Peter Ipatas memberitahu ABC bahawa terdapat tanda-tanda pertempuran antara suku akan meletus lagi menjelang serangan kali ini.

“Ia terpulang kepada pasukan keselamatan untuk menjaga keamanan.

“Dari perspektif wilayah, kami menjangka serangan ini akan berlaku dan minggu lalu kami sudah memberi amaran kepada pasukan keselamatan untuk mengambil tindakan yang sewajarnya untuk mengelakkan perkara ini daripada berlaku,” ujarnya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat