Mahkamah Majistret Batu Pahat menetapkan 11 Mac sebagai tarikh sebeutan semula kes pertuduhan terhadap Mohammad Haikal Mahfuz yang didakwa membunuh teman wanitanya, Mila Sharmila Samsusah atau Bella pada Disember tahun lalu.
Majistret Suhaila Shafi’uddin membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan yang diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Siti Khalijah Khalid memaklumkan pihaknya belum menerima laporan forensik.
Menurut laporan Berita Harian itu, dalam prosiding berkenaan, Siti Khalijah memaklumkan hanya laporan forensik belum diterima bagi membolehkan pihaknya membuat permohonan izin bagi pemindahan kes itu ke Mahkamah Tinggi Muar.
Sementara itu, peguam Mohamad Haikal, Syahril Anuar yang kemudiannya mencadangkan tarikh terbabit kepada mahkamah dan tiada bantahan di pihak pendakwaan mahupun daripada Nur Aminahtul Mardiah Nd Nor selaku peguam pemerhati keluarga Bella.
Pada 24 Januari lalu, bekas posmen itu pertama kali didakwa di mahkamah sama atas pertuduhan membunuh wanita itu, namun tiada pengakuan direkodkan.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau pemenjaraan bagi tempoh tidak kurang 30 tahun atau tidak melebihi 40 tahun, sekiranya tidak dijatuhi hukuman mati serta sebatan tidak kurang 12 kali.
Baca juga: