Industri tanaman koko menjadi komoditi penting di negara ini apabila mencatat peningkatan sebanyak 5 peratus pada 2023 iaitu RM8.2 bilion berbanding 2022 iaitu RM7.8 bilion.
Menurut Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin, sebahagian besar daripada jumlah itu disumbangkan oleh pendapatan eksport produk koko separa siap seperti lemak koko dan serbuk koko.
Katanya, keluasan tanaman koko Malaysia adalah seluah 6,123 hektar meningkat berbanding 5,985 hektar pada 2022.
“Peningkatan 138 hektar ini adalah hasil daripada Program Tanaman Baru Koko yang dilaksanakan oleh Lembaga Koko Malaysia (LKM).
“Harga biji koko di Malaysia mencecah RM17 sekilo berbanding RM8 pada 2022,” katanya di Seminar Kemampanan Rantaian Bekalan Koko Menerus Teknologi Canggih: Perundingan dengan industri mengenai Teknologi Canggih Koko 2024 (CICAT2024) di Kota Kinabalu, Sabah pada Selasa.
Dalam pada itu, LKM turut sedang dalam perangkaan untuk melaksanakan beberapa strategi untuk meningkatkan produktiviti koko seperti memperkasa kecekapan pengurusan kebun menggunakan mekanisasi, data digital dan teknologi internet pelbagai benda (IoT).
LKM turut menerima peruntukan sebanyak RM3 juta untuk melaksanakan mekanisasi dan teknologi dalam pengurusan tanaman koko bagi tempoh 2024 dan 2025.
“Penggunaan teknologi adalah bagi membangunkan pertanian pintar yang diharapkan dapat menarik minat pengusaha estet atau ladang serta generasi baharu untuk terlibat dalam penanaman koko,” katanya.
Turut hadir dalam majlis sama, Pengerusi LKM Datuk Matbali Musah dan Ketua Pengarah LKM, Datuk Dr Ramle Kasim.
Baca juga: