UK sumbang bantuan ke Gaza buat pertama kali

United Kingdom (UK) telah menyalurkan empat tan bantuan udara ke Gaza buat pertama kali setelah mencapai perjanjian dengan Jordan.

Sebelum ini, UK menandatangani perjanjian dengan Jordan yang menyaksikan bantuan UK sebanyak AS$1.2 juta (RM5.7 juta) dihantar ke Gaza.

Bantuan tersebut dihantar menggunakan pesawat Hercules Tentera Udara Diraja Jordan dengan cara menjatuhkan kit bantuan tersebut terus ke utara Gaza selepas matahari terbenam.

Antara bekalan yang diberi termasuk ubat-ubatan, makanan dan bahan bakar dihantar ke kawasan berkenaan dengan pesawat tentera udara Jordan pada Rabu.

Setiausaha Luar UK, David Cameron berkata, bantuan itu akan menyelamatkan nyawa dan memastikan hospital di kawasan berkenaan dapat beroperasi dengan bekalan yang mencukupi.

Bekalan tersebut dilengkapi dengan payung terjun dan penjejak GPS untuk memastikan ia sampai ke hospital Lapangan Tentera Jordan di bandar Gaza.

“Bagaimanapun, keadaan di Gaza sangat terdesak dan lebih banyak bantuan diperlukan dengan kadar segera. Kami menyeru pergolakan ini diberhentikan seketika untuk membolehkan bantuan tambahan ke Gaza dan membawa tebusan pulang,” kata Cameron lapor media antarabangsa, BBC.

Dalam pada itu, Program Makanan Sedunia (WFP) turut telah menggantung penghantaran bekalan di sana kerana konvoi organisasi berkenaan telah diganggu dengan keganasan dari tentera Israel.

“Terdapat kehadiran tentera Israel yang besar di kawasan itu dan sebahagian besar penduduk terpaksa ke selatan.

“Walau bagaimanapun, dianggarkan 300,000 rakyat Palestin kekal di utara Gaza mempunyai bekalan makanan dan air yang sedikit dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah memberi amaran bahawa kebuluran semakin berleluasa di sana,” kata jurucakap WFP.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat