Ahli Parlimen pembangkang bertindak keluar Dewan Rakyat ketika Perdana Menteri menyampaikan ucapan penghargaan kepada Yang di-Pertuan Agong ke-16, Sultan Abdullah di Parlimen sebagai tanda protes diangap sebagai satu perbuatan tidak sopan, malah bertentangan dengan titah Yang di-Pertuan Agong ke-17, Sultan Ibrahim.
Perkara itu disuarakan oleh Setiausaha Politik Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim iaitu Ahmad Farhan Fauzi, yang berpendapat tindakan tersebut hanya membelakangkan titah baginda.
“Umum mengetahui bahawa titah diraja adalah suatu kemuliaan dan titah yang sangat bertanggungjawab malah sentiasa menyentuh perihal kebajikan rakyat agar sentiasa terbela.
“Baginda telah bertitah dengan menasihati semua ahli Dewan Rakyat daripada kerajaan mahupun pembangkang untuk berganding bahu membangunkan negara demi kepentingan seluruh rakyat Malaysia.
“Tambahan pula, baginda turut mengingatkan ahli Dewan Rakyat untuk tunjukkan contoh teladan yang baik kepada rakyat ketika berada di Dewan Rakyat,” katanya dalam sebuah kenyataan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) telah mengemukakan permohonan kebenaran di bawah Peraturan 14(2) kepada Dewan Rakyat untuk membenarkan Perdana Menteri memberi ucapan pujian dan penghargaan kepada Sultan Abdullah selaku Yang di-Pertuan Agong terdahulu.
Tambahnya, isu ini sepatutnya tidak dibesarkan kerana telah mendapat persetujuan majoriti ahli Dewan Rakyat iaitu membenarkan pihak kerajaan mengemukakan usul untuk sesuatu perkara tanpa perlu dibahas dan diberi notis.
“Ahli Parlimen pembangkang sepatutnya menyokong tindakan Perdana Menteri menyampaikan ucapan menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong yang telah meletakkan kemuliaan dan keutamaan kepada rakyat sepanjang pemerintahannya.
“Protes yang dilakukan pembangkang terhadap isu ini dengan keluar dewan beramai-ramai jelas menunjukkan bahawa mereka tidak menghormati Institusi diraja,” katanya.
Tambahnya, itu adalah kegagalan total Ahli Parlimen pembangkang untuk mempraktikkan politik yang matang.
Jelas Farhan lagi, tindakan biadap pembangkan ini seakan menyindir titah Yang di-Pertuan Agong supaya Kerajaan Madani terus dikekalkan sehingga Pilihan Raya Umum akan datang.
“Saya ingin menggesa Ahli Parlimen pembangkang untuk menghentikan ‘politiking’ dan memberi tumpuan untuk bersama dengan Kerajaan MADANI memacu ekonomi negara yang lebih pesat serta menjadi pembangkang yang berfungsi di dalam Dewan Rakyat,” katanya.
Baca juga: