Geng seludup minuman keras lari bertempiaran disergah APMM

Sekumpulan lelaki yang sedang leka memunggah minuman keras tidak bercukai di perairan Menumbok, Sabah, bertempiaran lari selepas diserbu anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), pada Jumaat.

Dalam kejadian pukul 3.30 pagi itu, bot peronda APMM yang menjalankan Ops Khas mengesan pergerakan sebuah bot bergerak laju di timur laut Pulau Belangkasan menuju ke Muara Sungai Sarap, Menumbok.

Pengarah APMM Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Datuk Che Engku Suhaimi Che Engku Daik berkata, dalam keadaan gelap, bot peronda APMM bertindak mengekori bot pancung berkenaan sehingga ke tebing Sungai Sarap.

“Hasil pemerhatian mendapati bot berkenaan sedang menjalankan aktiviti pemunggahan barang ke lori kargo.

“Ketika serbuan dibuat, semua suspek bertindak melarikan diri ke kawasan paya bakau berhampiran dan meninggalkan bot, lori serta muatan yang dipunggah,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, usaha menjejaki suspek yang berada di lokasi pemunggahan gagal berikutan keadaan gelap dan kawasan berpaya.

Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut mendapat muatan terbabit berupa 300 karton minuman keras tidak bercukai pelbagai jenama dipercayai cuba diseludup masuk dari Labuan.

“Bot, lori kargo ditahan bersama muatan barangan dan diiring ke Maritim Negeri Sabah dan Labuan untuk siasatan lanjut.

“Nilai rampasan termasuk bot bersama enjin, lori kargo dan muatan berjumlah lebih RM350,000,” katanya.

Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967 dan Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002 (JPDS) kerana membawa barang-barang tidak bercukai dan menggunakan bot tidak berdaftar. 

Difahamkan, APMM akan mempertingkatkan rondaan dan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi memastikan komuniti setempat mematuhi peruntukan undang-undang di zon maritim negara.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat