Jualan Agro MADANI capai nilai jualan sebanyak RM94.73 juta

Jualan Agro MADANI berjaya mengumpul nilai jualan sebanyak RM93.74 juta sepanjang penganjuran 5,605 program berkenaan bermula tahun lalu.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, pencapaian berkenaan melalui jawapan bertulis bagi menjawab soalan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengenai mekanisme penurunan harga dan pelaksanaan Program Jualan Agro MADANI.

“Seramai 2.9 juta pengunjung telah menghadiri sepanjang pelaksanaan program tersebut di semua lokasi dan penjimatan harga barangan sebanyak RM27.8 juta yang memberi manfaat kepada 11.6 juta isi rumah seluruh negara,” katanya.

Arthur turut berkata, penurunan harga yang disediakan di program ini dapat dicapai kerana ia berkonsepkan pengeluar produk agromakanan terus kepada pengguna tanpa penglibatan orang tengah.

“Konsep ini dapat menurunkan harga barangan asas daripada 10 peratus hingga 30 peratus lebih murah berbanding harga pasaran,” ujarnya.

Selain jualan dengan harga yang murah, ia juga membantu petani dan pengeluar memasarkan hasil pertanian mereka secara terus kepada pengguna di pelbagai lokasi di samping meningkatkan penggunaan produk hasil tani domestik dan seterusnya membantu petani tempatan dalam memperluaskan pasaran mereka.

Kerajaan turut komited untuk melaksanakan Jualan Agro MADANI di pelbagai lokasi seluruh negara untuk mencapai sasaran keseluruhan sebanyak 10,000 bagi tempoh 2023 hingga 2024.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat