Ahli Parlimen Tasek Gelugur, Datuk Wan Saiful Wan Jan membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim susulan kenyataan yang dibuat di Dewan Rakyat baru-baru ini.
Mengakui kenyataan melibatkan isu rasuah yang dibuat pada 28 Februari ketika membahaskan Titah Diraja ditujukan kepada Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun, beliau turut menarik balik tuduhan tersebut.
“Saya menarik balik ayat dan kenyataan tersebut serta memohon maaf atas kenyataan yang dibuat. Saya dengan rendah diri juga memohon keampunan atas kekhilafan sekiranya menyentuh perihal Yang di-Pertuan Agong,” katanya di Dewan Rakyat di sini pada Selasa.
Terdahulu, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul memberi peluang kepada Wan Saiful ‘membela diri’ sebelum membenarkan usul dikemukakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Johari bagaimanapun menerima permohonan maaf tersebut dan dalam masa sama meminta Ahmad Zahid turut berbuat demikian.
“Saya anggap ini episod yang telah berlalu. Jadi sekali lagi saya minta semua ahli Dewan Rakyat di sebaliknya kanan dan kiri untuk bergerak ke depan. Saya juga minta semua yang berhormat bincang masalah rakyat dengan lebih tertib dan lebih aman.
“Terima kasih kepada kepada wakil rakyat di sebelah kanan dan kiri. Saya tutup kes ini,” katanya.
Baca juga: