Label muzik perlu tapis dahulu kualiti penyanyi mereka – Ajai

Komposer dan penyanyi, Ajai menasihati label muzik agar menapis dahulu kualiti penyanyi yang ingin dikeluarkan mereka untuk mengelakkan kewujudan penyanyi yang mengharapkan autotune semata-mata dan gagal mempersembahkan dengan baik ketika persembahan siaran langsung.

Ajai atau nama sebenarnya, Mohamad Faizal Maas, 48, memberi pandangan susulan video tular yang memaparkan persembahan ‘sumbang’ kumpulan The Gadys yang menyanyikan lagu Cintaku Sampai Ke Ethiopia dalam acara siaran langsung sebuah stesen televisyen.

“Label muzik perlu tapis dahulu produk yang mereka keluarkan kerana ia mencerminkan industri muzik yang bukan sahaja hiburan semata-mata, malah ia merupakan sebahagian daripada pendidikan buat para pendengar.

“Tidak dinafikan bahawa memang tiada halangan untuk mereka mengeluarkan penyanyi sebegini, namun mereka perlu memberi keutamaan kepada mereka yang lebih berbakat,” katanya ketika ditemui di sidang media Konsert byAjai and Mega Friends di Hotel Royale Chulan, Damansara pada Rabu.

Ajai turut berkata selain daripada label muzik, Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) juga perlu memainkan peranan yang sepatutnya untuk menapis kualiti muzik yang dihasilkan oleh mana-mana artis.

“RIM perlu memainkan peranan juga, terutamanya dari segi penapisan artis-artis begini,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Ajai akan menerajui Konsert ByAjai and Mega Friends bersama lima penyanyi lain pada 3 Ogos depan di Mega Star Arena, Kuala Lumpur.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat