Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) membuka peluang dengan menawarkan Malaysia untuk menjadi tuan rumah bagi menggantikan Victoria, Australia bagi Sukan Komanwel 2026.
Tawaran itu termasuk pelaburan kewangan yang berjumlah 100 juta pound (RM602 juta) untuk menyokong perancangan tersebut.
Menurut Presiden Persatuan Sukan Komanwel (CGA) Malaysia, Tan Sri Datuk Mohamad Norza Zakaria, CGA Malaysia dan CGF telah berbincang mengenai peluang untuk Malaysia menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 2026.
“Kali terakhir Malaysia menjadi tuan rumah Sukan Komanwel adalah pada 1998, oleh itu, CGA Malaysia berpendapat bahawa Kerajaan Malaysia harus mempertimbangkan peluang sekali dalam seumur hidup ini.
“Dalam masa sama, Malaysia juga mendapat sokongan serta pelaburan kewangan berkaitan yang akan membina kejayaan Kuala Lumpur 1998 dan meletakkan Malaysia kembali ke peta Sukan dunia,” jelasnya menerusi satu kenyataan.
Beliau turut berkata, dengan kemudahan bertaraf dunia yang sedia ada, Malaysia dilihat sebagai calon terbaik untuk menggalas tanggungjawab sebagai tuan rumah bagi acara antarabangsa itu.
“Selain kelengkapan yang bertaraf dunia yang kita ada, Malaysia boleh menjadi tuan rumah bagi acara besar antarabangsa Magnitud Komanwel yang melibatkan 74 negara serta Wilayah.
“Peluang penglibatan ini akan membawa faedah sosio-ekonomi yang besar kepada negara secara tidak langsung boleh meningkatkan taraf Sukan Malaysia seperti yang dilakukan selepas tahun 1998.
“CGF dan CGA Malaysia bertujuan menawarkan cadangan menarik ini kepada Kerajaan Malaysia,” jelasnya.
Sebelum ini, Victoria dilaporkan menarik diri sebagai tuan rumah bagi edisi ke-23 itu atas alasan peningkatan kos penganjuran daripada jangkaan awal AUD2.6 bilion (lebih kurang RM8.09 bilion) kepada AUD7 bilion (lebih kurang RM21.78 bilion).
Kerajaan Victoria juga dilaporkan bersetuju untuk membayar AUD380 juta (RM1.18 bilion) kerana melanggar kontrak, apabila tidak dapat menganjurkan temasya itu mengikut jadual bermula 17-29 Mac, 2026.
Baca lagi: