Lebuh Raya Pesisir Pantai Barat (WCE) dari Taiping ke Beruas yang dijadualkan akan dibuka pada tengah malam Isnin, boleh digunakan secara percuma selama dua bulan bermula tengah malam ini sehingga 11 Mei depan.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, sempena pembukaan Seksyen 11 WCE berkenaan, pengguna lebuh raya di seksyen tersebut iaitu Persimpangan Bertingkat Taiping Selatan, Persimpangan Trong dan Persimpangan Beruas di kedua-dua arah tidak akan dikenakan tol bermula esok sehingga 11 Mei hadapan.
“Pembukaan jajaran ini juga bakal memainkan peranan strategik dengan menghubungkan Persimpangan Taiping Selatan dan Lebuhraya PLUS melalui Persimpangan Changkat Jering sekaligus memberikan laluan alternatif yang lebih selesa ke destinasi pantai barat seperti Teluk Intan, Manjung, Pulau Pangkor, Beruas, Trong, Changkat Jering, dan Taiping serta Pantai Barat Selangor.
“Seksyen 11 WCE yang dibuka ini melibatkan jajaran sepanjang 35.5 kilometer (km) yang menghubungkan pengguna secara terus dari Lebuh Raya Utara Selatan di Changkat Jering ke Beruas,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu beliau berkata, lebuhraya ini juga memberikan pengalaman pemanduan yang baru dan selesa kepada pengguna dengan struktur permukaan jalan yang lebih landai dan kurang berbukit.
Seiring dengan Tahun Melawat Perak 2024, pembukaan ini bukan sahaja menyemarakkan sektor pelancongan, tetapi juga memainkan peranan besar dalam memacu pertumbuhan ekonomi setempat dan memberikan impak sosio-ekonomi yang signifikan kepada negeri Perak.
Secara keseluruhannya WCE telah membuka semua jajaran di negeri Perak, dua di negeri Selangor iaitu Seksyen 5 dan yang terbaru Seksyen 6, menghubungkan Bandar Bukit Raja Utara ke Assam Jawa pada 20 November 2023 lalu.
Turut hadir, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dalam majlis perasmian Seksyen 11 WCE di Changkat Jering pada Isnin.
Baca juga: