Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya Canselor Olof Scholz bagi mengukuhkan hubungan dua hala dan ekonomi negara.
Menurut kenyataan di Facebook, dalam pertemuan itu, Anwar mengetengahkan isu kemajuan hubungan Malaysia-Jerman terutama sekali kerjasama ekonomi, pendidikan, alam sekitar, eksport minyak sawit dan kelestarian.
Beliau turut mengangkat soal pertukaran pandangan mengenai krisis kemanusiaan di Palestin selain isu global yang mempunyai kepentingan bersama.
“Menerusi pertemuan ini, Malaysia berharap dapat menjalinkan kerjasama yang lebih luas, bukan sahaja dalam meningkatkan perdagangan dan pelaburan, malah, untuk memperkukuhkan hubungan dua hala dalam semua bidang.
“Dalam sidang media bersama, saya mengalu-alukan lebih banyak pelabur Jerman untuk memanfaatkan lokasi Malaysia yang strategik di Asia Tenggara sebagai destinasi pelaburan pilihan.
“Dalam masa sama, kami (kedua-dua pihak) juga menggesa agar gencatan senjata kekal dilaksanakan di Gaza selain pembebasan tawanan manakala bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin disegerakan,” katanya.
Hasil pertemuan itu, Scholz turut menyatakan persetujuan untuk menoktahkan konflik yang sudah berlanjutan selama beberapa abad.
Anwar turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Scholz atas layanan baik yang diberikan kepadanya serta delegasi Malaysia di samping mengharapkan hubungan kedua-dua negara dapat terus diperkukuh demi manfaat bersama.
Baca juga: