Anwar adakan kunjungan hormat bertemu Presiden Jerman di Berlin

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertemu Presiden Jerman Frank-Walter Steinmeier untuk membincangkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara pada Isnin.

Anwar tiba di Berlin pada Ahad untuk lawatan enam hari ke Jerman dan diterima oleh Steinmeier di Istana Bellevue, yang menempatkan Pejabat Presiden.

Pertemuan itu merupakan kali kedua antara kedua-dua pemimpin dalam tempoh satu tahun, selepas Presiden Jerman itu melakukan lawatan selama tiga hari ke Malaysia pada Februari tahun lepas.

“Kami mengadakan perbincangan terkait isu yang menjadi kepentingan bersama kedua-dua negara, antaranya melibatkan minyak sawit, produk berasaskan sawit, pendidikan serta perdagangan dan pelaburan.

“Kami turut menyentuh isu global dan sudah pastinya meliputi perkembangan di Palestin yang mana ia memerlukan bantuan kemanusiaan berterusan daripada semua pihak serta usaha menghentikan kekejaman rejim Zionis,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook miliknya.

Selain itu, Steinmeier yang juga pernah melawat Pulau Pinang dan Sarawak, memberitahu Malaysia akan menjadi lokasi penting bagi syarikat Jerman untuk mempelbagaikan perniagaan dan pelaburan mereka.

Menurutnya, lebih 700 syarikat Jerman berpangkalan di Malaysia telah mewujudkan 65,000 pekerjaan dan memberi peluang untuk mempelbagaikan dan membekalkan pasaran mereka di rantau ini.

Sejak tahun 2000 ekonomi ketiga terbesar di dunia itu adalah rakan perdagangan terbesar Malaysia dalam kalangan negara anggota Kesatuan Eropah sejak 2000, manakala Malaysia pula merupakan rakan perdagangan terbesar bagi Jerman dalam kalangan negara anggota Asean.

Difahamkan, pada 2023, nilai dagangan Malaysia dengan Jerman meningkat sebanyak 5.9 peratus kepada RM63.45 bilion (USD13.90 bilion) berbanding RM59.87 bilion (USD13.62 bilion) pada 2022.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat