KPT tingkatkan kerjasama strategik bagi perkasa bidang penyelidikan

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) merangka untuk menggerakkan inisiatif kecemerlangan Institut Pengajian Tinggi (IPT) yang inovatif berdasarkan kerangka gabungan kerjasama strategik empat penjuru.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, langkah tersebut akan dibuat secara berperingkat sehingga berjaya direalisasikan.

“Gerakan berdasarkan kerangka ‘quadra helix’ yang menggabungkan kerjasama strategik empat penjuru daripada peringkat permulaan hinggalah ke peringkat akhir iaitu akademik, industri, kerajaan dan masyarakat meliputi pemegang taruh dalam dan luar negara.

“Sehubungan itu, kecemerlangan IPT memerlukan keempat-empat pemegang taruh ini untuk bertindak bersama dari peringkat permulaan hinggalah ke peringkat akhir,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, KPT turut menyokong usaha-usaha memperkasa program penyelidikan kolabratif di dalam dan luar negara, seperti yang dapat dilihat melalui Program Penyelidikan Padanan Antarabangsa atau Malaysia Partnerships and Alliances in Research (MyPAiR).

Zambry berkata, program itu dilakukan bertujuan mempertingkat kerjasama penyelidikan antara IPT dengan industri serta agensi tempatan mahupun antarabangsa dalam bidang strategik.

“Melalui MyPAiR perkongsian dan kerjasama penyelidikan tidak terhad kepada perkongsian kepakaran tetapi turut merangkumi konteks yang lebih luas seperti perkongsian infrastruktur dan peralatan.

“Manakala dalam bidang-bidang berkaitan dengan penyelidikan ini termasuklah bidang tenaga, perubatan dan penjagaan kesihatan, teknologi dan sistem pintar dan sebagainya,” katanya.

Selain itu, penyediaan dana pra-pengkomersialan iaitu Geran Malaysia Laboratories For Academia-Business Collaboration (MyLAB), bertujuan untuk menghubungkan jurang pengkomersialan produk penyelidikan dengan menyediakan dana serta melibatkan kerjasama akademi dan industri.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat