Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sentiasa komited bagi memastikan kesejahteraan warga kampus terutamanya pelajar dan pensyarah berada pada tahap terbaik melalui program ‘Semarak KAMPUS MADANI’.
Menurut Menteri Pendidikan Tinggi, Zambry Abdul Kadir, ‘Semarak KAMPUS MADANI’ merupakan program turun padang yang dibangunkan khusus untuk membolehkan Pengurusan Tertinggi KPT mendekati dan menyelami warga Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) menerusi pengalaman sebenar tinggal dan berada di kampus.
“Pendekatan 3P iaitu Padang (turun padang), Perasaan (menyelami keadaan mereka) dan juga Penyelesaian (mencari penyelesaian) diguna pakai sebagai asas utama pelaksanaan program.
“Terdapat tiga objektif utama penganjuran program ini iaitu, mengenal pasti masalah dan isu sebenar di IPT melalui sesi lawatan dan libat urus bersama pemegang taruh, warga dan pelajar IPT; berkongsi aspirasi dan hala tuju terkini sektor pendidikan tinggi negara secara terus kepada pemegang taruh, warga dan pelajar; dan menggalakkan penghasilan inovasi atau ciptaan menerusi kajian, meningkatkan kebolehpasaran graduan dan menyemai nilai keusahawanan di kalangan pelajar-pelajar,” katanya dalam sesi jawapan menteri dalam sidang Parlimen, pada Khamis.
Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan pengisian program berkenaan yang melibatkan dua penganjuran iaitu ‘Exploration and Collaboration UA, IPTS’ oleh Jabatan Pendidikan Tinggi dan program ‘Innovation & Engagement’ oleh Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti.
“Antara program yang dilaksanakan termasuklah Pameran Industri; Sesi Bersama Alumni; Bedah Buku; Riadah Bersama Pelajar; CSR Pemerkasaan TVET; dan program bersama komuniti setempat dan Komuniti Sejahtera dan mengadakan mesyuarat pengurusan dengan pihak Universiti,” jelasnya.
Tambahnya, program ini amat penting sebagai platform dua hala kepada warga dan pelajar di IPT untuk menonjolkan pencapaian semasa mereka mahupun menyampaikan keluh kesah secara terus kepada Pengurusan Tertinggi KPT.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Mohd Isam Bin Mohd Isa (BN-Tampin) mengenai tujuan penganjuran serta status pelaksanaan program Semarak Kampus MADANI dan sejauh manakah kepentingan program tersebut mampu untuk memberi manfaat kepada semua pemegang taruh yang terlibat, terutamanya mahasiswa.
Baca juga: