Usaha PM pertahankan rakyat Palestin terima pujian barisan figura terkenal dunia

Usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang lantang bersuara tentang pendiriannya mempertahankan nasib penduduk Palestin dengan mengkritik tindakan negara Barat menangani kekejaman Israel telah menarik perhatian beberapa individu berpengaruh di serata dunia.

Perkara tersebut, jelas apabila Anwar yang juga Menteri Kewangan itu tanpa gentar, berani membidas ideologi wartawan Jerman yang bongkak mengatakan peperangan yang mencecah lebih 100 hari itu berpunca daripada rakyat Palestin.

Susulan tindakan berani beliau, beberapa figura terkenal dunia terdiri daripada pengamal media antarabangsa, selebriti dan aktivis kemanusiaan meluahkan rasa terima kasih dan sokongan terhadap dirinya.

Wartawan Amerika Syarikat, Ali Abunimah menyifatkan Anwar sebagai seorang pemimpin yang berjaya ‘mengajar’ soalan ‘biadab’ daripada wartawan tersebut.

“Puas saya melihat Anwar Ibrahim, salah seorang pemimpin yang bertamadun ‘mengajar’ orang Jerman yang biadab. Namun, tidak ada harapan bahawa rejim pembunuhan kanak-kanak di Berlin mampu mengubah cara tersebut,” katanya menerusi hantaran di X miliknya.

Peninju profesional dari New Zealand, Sonny Bill Williams turut menzahirkan sokongan kepada Anwar yang memberi hujah berdasarkan fakta iaitu memetik semula permulaan konflik dua negara tersebut melalui insiden Nakba.

Selain mereka, perencana jenama bebas, Andy Wheatley menyatakan rasa hormatnya terhadap Anwar di samping memuji semangat juang pemimpin nombor satu Malaysia itu.

“Saya amat menghormati Anwar Ibrahim kerana kekal bertahan setelah menghadapi pemenjaraan dan penderaan atas kesalahan yang tidak dilakukannya ketika saya tinggal dan bekerja di Asia Tenggara beberapa tahun lalu.

“Ini adalah bidasan yang meyakinkan dan retorik di samping mengenang tragedi Palestin dan Israel menurut fakta sejarah,” katanya.

Turut menyokong kenyataan Perdana Menteri ialah penyanyi lagu kerohanian dari Lubnan, Maher Zain melalui hantaran singkat menyatakan rasa berterima kasih kepada beliau.

Terdahulu, Anwar membidas kenyataan wartawan Jerman tersebut ketika Sidang Media Bersama Canselor Republik Persekutuan Jerman, Olaf Scholz di Bangunan Canseleri Jerman pada Selasa.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat