Kemiskinan di Sabah 6 kali ganda lebih tinggi berbanding nasional – Ronald Kiandee

Dianggarkan kadar kemiskinan di Sabah sebanyak 1.2 peratus iaitu enam kali ganda lebih tinggi berbanding kadar nasional 0.2 peratus.

Angka tersebut perlu diberi perhatian dan dipandang serius sementelah hal itu diumumkan oleh Menteri Ekonomi dan perlu diterima dan dinilai secara matang.

Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ronald Kiandee, mengakui, Sabah ketinggalan berbanding negeri lain terutama dalam aspek kemajuan ekonomi dan pembangunan infrastruktur.

“Namun, perlu dijelaskan bahawa kadar kemiskinan yang diumumkan kerajaan itu sebenarnya sudah jauh menurun.

“Kajian separuh penggal Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) merekodkan insiden kemiskinan di Beluran 12.1 peratus, tetapi kini turun kepada lima peratus, manakala Tongod yang merupakan daerah termiskin juga merekodkan penurunan ketara daripada 19.7 peratus kepada 5.9 peratus,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Tambah bekas Menteri Pertanian Industri dan Makanan itu, ahli Parlimen negeri ini secara berterusan memperjuangkan isu kemiskinan dan jurang pembangunan yang ketara antara Semenanjung dan Sabah di Dewan Rakyat.

“Kepada kerajaan, saya ingin tegaskan dalam isu kemiskinan ini perlu buta politik.

“Usaha kerajaan terdahulu boleh diteruskan dan ditambah baik melalui idea baharu dengan tumpuan mesti diberikan kepada kawasan luar bandar,” katanya.

Beliau berkata, keadilan sosioekonomi wajib dilaksanakan dengan pembangunan infrastruktur di lapan daerah di Sabah yang mencatatkan angka kemiskinan tinggi mesti dipercepatkan.

Baca lagi:

Anda Mungkin Berminat