Polis menahan enam individu yang terlibat dalam dua kes pembunuhan yang berbeza di Masai dan Pasir Gudang, Johor pada Sabtu.
Kes pembunuhan pertama melibatkan lima suspek yang ditahan yang disyaki terlibat dalam pembunuhan seorang lelaki berusia 61 tahun yang ditemui maut dengan kesan luka tetakan di beberapa bahagian badan.
Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar S. Muthuvelu berkata polis berjaya menangkap lima individu dalam lingkungan usia 35 hingga 48 tahun yang disyaki terlibat dengan pembunuhan lelaki berkenaan.
“Hasil semakan rekod lampau mendapati kesemua suspek mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau yang juga melibatkan penyalahgunaan dadah,” katanya dalam kenyataan.
Dalam pada itu, polis turut membuat tangkapan terhadap seorang lagi wanita berusia 32 tahun yang disyaki terlibat dalam pembunuhan seorang kanak-kanak berumur setahun enam bulan yang merupakan anak kandungnya.
“Siasatan awal mendapati suspek menghantar gambar simati yang berlumuran darah pada bahagian leher melalui aplikasi WhatsApp ke telefon bimbit milik suaminya.
“Polis turut merampas sebilah pisau yang dipercayai digunakan sebagai senjata untuk membunuh mangsa di lokasi kejadian,” ujarnya.
Kedua-dua kes disiasat dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan mayat kedua-dua mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru untuk dibedah siasat.
Baca juga: